BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Usahawan MARA pamer inovasi produk di HIPEX 2025

KUALA LUMPUR – Kejayaan usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menembusi pasaran antarabangsa terus menyerlah apabila pelbagai produk bertaraf global diperkenalkan menerusi High Innovation Product and Service Expo (HIPEX) 2025.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kewujudan kawasan industri MARA termasuk MARA Halal Industrial Park (MIHP) di tengah kota raya menjadi simbol kehebatan dan kreativiti usahawan di bawah agensi itu dalam menghasilkan produk bukan sahaja berskala tempatan, malah antarabangsa.

Menurut beliau, sebahagian besar usahawan terbabit kini sudah mula memasarkan produk masing-masing ke luar negara menerusi Program Get to Global yang digerakkan MARA bagi memperluaskan jaringan pasaran.

“Penganjuran HIPEX ini adalah antara inisiatif penting untuk mempamerkan kepada masyarakat bahawa di sebalik landskap bandar, terdapat kawasan industri MARA yang melahirkan usahawan berdaya saing, inovatif dan berpotensi besar di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan HIPEX 2025 di Kompleks MIHP, di ibu negara, hari ini.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan beberapa produk baharu hasil inovasi usahawan MARA termasuk produk Ready-To-Eat (RTE) Aris Burger yang kini sudah memasuki pasaran runcit dan stesen minyak.

MARA
Pelancaran produk Aris Burger di HIPEX 2025. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Asyraf Wajdi menyifatkan kejayaan produk berkenaan sebagai satu kebanggaan kepada MARA, khususnya kerana ia dihasilkan melalui kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama institusi pengajian tinggi seperti Universiti Putra Malaysia (UPM).

Terdahulu, Aris Burger mencipta satu lagi pencapaian strategik menerusi pelancaran RTE Aris Burger bagi memenuhi permintaan pengguna terhadap makanan halal yang mudah, berkualiti dan diyakini, sejajar dengan perubahan gaya hidup masyarakat moden.

Perasmian produk itu disempurnakan Asyraf Wajdi, sekali gus menandakan langkah penting syarikat berkenaan dalam memperluaskan penawaran produk siap dimakan yang dihasilkan sepenuhnya oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera.

MARA
Pengasas Aris Burger, Datuk Haris Embong. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Pengasas Aris Burger, Datuk Haris Embong berkata, pengenalan produk RTE itu adalah respons terhadap keperluan pasaran yang semakin menitikberatkan aspek kemudahan, keselamatan makanan dan jaminan halal.

“Produk ini menawarkan makanan segera yang praktikal tanpa menjejaskan kualiti, rasa serta kesucian halal, khususnya untuk pengguna bandar, keluarga bekerja dan golongan muda yang sentiasa bergerak pantas,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan, MARA akan memberi penekanan serius terhadap pengukuhan R&D sebagai teras utama pembangunan usahawan, bukan sekadar membantu dari sudut pembiayaan dan khidmat nasihat.

Katanya, bagi tahun 2026, MARA menetapkan pembangunan R&D sebagai fokus utama bagi membantu lebih ramai usahawan Bumiputera meningkatkan potensi produk dan menembusi pasaran lebih luas.

“Untuk melonjakkan perniagaan, asas R&D mesti kukuh. Justeru, MARA akan memperhebat kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi dan pelbagai pihak bagi memastikan produk usahawan kita benar-benar berdaya saing,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button