Pelajar UMS ditemukan maut di pentas Dewan Canselor
KOTA KINABALU – Seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditemukan meninggal dunia di Dewan Canselor universiti itu lewat pagi semalam, dipercayai terjatuh dari tempat tinggi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, mayat pelajar lelaki berusia 23 tahun itu ditemui dua pekerja penyelenggaraan kira-kira pukul 10 pagi, ketika sedang melakukan kerja di kawasan itu sebelum memaklumkan kepada pihak keselamatan universiti.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring di atas pentas Dewan Canselor sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di tempat kejadian pada pukul 11.10 pagi.
“Pemeriksaan luaran mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan selain kesan akibat terjatuh.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam Dewan Canselor mendapati, dia dilihat terjatuh pada jam 6.09 petang, Rabu lalu.
“Setakat ini, tiada saksi awam yang menyaksikan kejadian berkenaan. Namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Kasim berkata pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah turut berada di lokasi bagi membantu menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya sambil menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Sementara itu, Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam kenyataan berkata pihaknya masih menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“UMS dengan penuh rasa dukacita mengesahkan satu kejadian kematian yang melibatkan seorang pelajar lelaki di dalam kawasan kampus UMS. Kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga universiti.
“Sehubungan itu, UMS merayu kepada orang awam agar menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau kenyataan yang tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan dan menambah kesedihan kepada pihak yang terkesan.
“Keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan UMS. Pihak universiti komited untuk memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif melalui pematuhan ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta pemantauan berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, UMS turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan yang dikasihi.
“Pihak universiti akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut kepada umum sekiranya perlu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














