[VIDEO] “Tumpu kes mahkamah”, kata Anwar kepada Muhyiddin
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi tumpuan terhadap kes mahkamah dihadapinya daripada mendesak beliau meletak jawatan.
Menurut Anwar, beliau masih mempunyai sokongan majoriti dua pertiga daripada ahli Parlimen dan akan kekal menerajui Putrajaya.
@malaysiatribune “Tumpu kes Mahkmah”, kata Anwar kepada Muhyiddin #malaysiatribune #anwaribrahim #malaysiamadani
“Kita kekal kemenangan, masih dapat dua pertiga Ahli Parlimen, dia (Muhyiddin) buat perkiraan apa, saya nasihatkan dia tumpu kes mahkamah,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Jalan Tasik Selatan 2A Desa Tasik.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pembangunan di kawasan tersebut merangkumi tiga komponen utama iaitu Residensi Wilayah, Residensi Prihatin Madani dan Pusat Penjaja Madani.
Katanya, Residensi Wilayah akan melibatkan pembangunan 910 unit rumah, manakala Residensi Prihatin Madani melibatkan pembangunan 100 unit rumah.
Unit-unit ini akan ditawarkan kepada kumpulan sasar M40 dan ke bawah yang belum memiliki kediaman.
Tambahnya, kawasan tersebut juga bakal dilengkapi dengan pusat Penjaja Madani yang bakal dibina bersebelahan Kompleks Sukan Desa Tasik di atas tanah seluas 0.4 ekar.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendesak Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletak jawatan susulan kemenangan majoriti PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.