Polis berjaya selamatkan budak 5 tahun dilarikan bersama kereta
PETALING JAYA – Polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lima tahun yang dilarikan bersama sebuah kereta setelah tiga jam dilaporkan hilang dari Kampung Lindungan, dekat sini hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, polis menerima makluman mengenai sebuah kereta yang dilarikan di Jalan PJS 6/4, Kampung Lindungan, pukul 7.24 pagi tadi.
Menurutnya, pengadu yang juga suami isteri meletakkan kereta di tepi jalan dan meninggalkan anak perempuannya berusia lima tahun dalam kenderaan berkenaan untuk membeli sarapan pagi.
“(Bagaimanapun) Pengadu menyedari kenderaan miliknya dilarikan dan menghubungi pihak polis untuk bantuan.
Susulan laporan tersebut, pihak polis melancarkan ‘Op Tutup’ bagi mengesan kenderaan yang dicuri.
“Dengan bantuan orang awam, kereta tersebut akhirnya dikesan di kawasan pangsapuri Mentari Court di Petaling Jaya.
“Kenderaan itu ditemukan bersama kanak-kanak berkenaan selepas kira-kira tiga jam operasi dijalankan. Kanak-kanak tersebut kemudian diserahkan semula kepada ibu bapanya dalam keadaan selamat,” katanya sambil menambah bahawa suspek kejadian telah merikan diri.
Tambah beliau, usaha mengesan suspek masih diteruskan dan siasatan dilaksanakan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Shamsudin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan anak-anak dan kenderaan dalam keadaan tidak selamat kerana ia boleh mengundang kejadian tidak diingini seperti kes ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222, atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Azman Ayob di 012-223 7272.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





