JENAYAH & MAHKAMAH

Dua polis direman lima hari siasatan rasuah libatkan pekerja rumah urut

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh perintah reman ke atas dua anggota polis bagi membantu siasatan kes dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM10,000 daripada empat pekerja rumah urut disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini tersebut dikeluarkan Majistret Arunjothy M Selvaraju di Mahkamah Majistret, di sini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan dalam operasi berasingan di sekitar ibu kota dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur antara pukul 11 malam tadi hingga 5 pagi, hari ini.

“Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan untuk melepaskan empat pekerja rumah urut yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi tujuan pekerjaan,” katanya kepada BERNAMA.

Menurut sumber itu lagi, kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai berjumlah RM7,000 pada sebelah pagi, manakala baki RM3,000 lagi diserahkan pada malam hari sama sebelum penahanan dibuat.

Sementara itu Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button