Politik

5 ADUN BN sokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah

Turut desak Bung Moktar letak jawatan

KOTA KINABALU – Situasi politik di Sabah terus berada dalam keadaan tidak menentu selepas terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Lebih parah apabila kesemua lima ADUN ini mendesak supaya Datuk Seri Bung Moktar Radin meletakkan jawatan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dengan serta-merta.

Desakan itu dibuat menerusi satu kenyataan yang diketuai ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya bersama ADUN Pantai Dalit; Datuk Jasnih Daya; ADUN Sugut, Datuk James Ratib; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob dan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari.

“Kami telah dikejutkan oleh tindakan beberapa pihak tertentu khususnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang telah berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang sah.

“Sesungguhnya kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan dengan ini kami mendesak agar beliau meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah dengan serta-merta kerana tindakan tersebut mencemarkan nama baik parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, lima ADUN berkenaan juga turut melahirkan rasa terkilan dan kesal kerana Sabah dan rakyatnya sekali lagi diheret ke dalam krisis politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Bersama-sama rakyat Sabah, kami berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa ini bukan masanya untuk merebut kuasa politik.

“Sebaliknya, sudah tiba masanya untuk bersatu agar kerajaan negeri sekarang dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga dan sumber untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, lima ADUN berkenaan mengisytiharkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang sah di sisi perlembagaan.

Show More

Related Articles

Back to top button