Saksi kemalangan maut di Kuchai Lama diminta tampil bantu siasatan – polis
KUALA LUMPUR – Polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan termasuk pemilik rakaman kamera dashcam untuk tampil membantu siasatan berhubung satu kes kemalangan maut yang melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Kuchai Lama.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut selepas videonya tular di media sosial.
Kemalangan itu berlaku pada 8 Disember lalu, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, kemalangan itu melibatkan motosikal jenis Honda RS150 dan kereta Honda City di Jalan Kuchai Lama, dari arah Sri Petaling menghala ke Jalan Klang Lama.
“Siasatan awal mendapati perlanggaran berlaku ketika motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 25 tahun sedang melalui selekoh jalan.
“Motosikal tersebut kemudian dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 38 tahun, yang datang dari arah Sri Petaling.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HCTM pada kira-kira pukul 7.11 pagi, 9 Disember lalu.
Menurut Mohd. Zamzuri, kes pada mulanya disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, sebelum diklasifikasikan semula kepada Seksyen 41(1) APJ 1987 selepas kematian mangsa disahkan.
“Polis telah merakam percakapan pemandu kereta yang terlibat, yang mana individu berkenaan juga telah membuat laporan polis pada hari kejadian.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” ujarnya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Salehuddin Musa, di Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








