PTPTN umum pelanjutan tempoh mohon pelan pembayaran fleksibel hingga 31 Dis
KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan pelanjutan tempoh permohonan pelan pembayaran fleksibel mengikut kemampuan kewangan peminjam sehingga 31 Dis ini.
PTPTN dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah itu dibuat memandangkan sambutan peminjam di bawah Kempen Lestari Pendidikan itu amat menggalakkan.
Katanya, kempen itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada peminjam yang mempunyai tunggakan untuk berunding mengenai pelan pembayaran mengikut kemampuan kewangan mereka.
“Peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh membuat bayaran pendahuluan 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi dan memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.
“Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman mereka,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dalam kenyataan sama, PTPTN turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peminjam yang telah menunaikan tanggungjawab membuat bayaran balik pinjaman.
“PTPTN turut menyeru semua peminjam agar melihat bayaran balik bukan sebagai beban, tetapi sebagai satu amanah dan tanggungjawab bersama demi kelangsungan pendidikan tinggi negara.”
Kempen Lestari Pendidikan bermula pada 15 Okt lalu dan sepatutnya berakhir pada 15 Dis 2025.
Untuk maklumat lanjut, sila layari portal rasmi PTPTN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








