Sissy Imann selamat bergelar isteri Dr Zamir, bakal berbulan madu ke Itali
PUTRAJAYA – Perjalanan cinta penyanyi dan pengacara berbakat, Sissy Imann membuka lembaran baharu apabila beliau selamat bergelar isteri kepada Dr Zamir Hilman Hamzah dalam majlis yang berlangsung tenang namun sarat makna pagi tadi.
Majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini itu menyaksikan Sissy, 30, dan Dr Zamir, 41, disatukan tepat pukul 9 pagi di hadapan keluarga terdekat serta sahabat rapat kedua-dua mempelai.
Acara bermula dengan majlis pertunangan apabila Sissy menerima tiga bentuk cincin berlian sebagai simbolik penyatuan dua hati.
Pihak lelaki turut membawa satu dulang hantaran, yang kemudiannya dibalas tiga dulang oleh pihak perempuan.
Sissy dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohammad Kamil Mustaffa menjadikan detik ijab kabul itu lebih bermakna buat penyanyi yang selama ini dikenali dengan kelembutan dan kematangan peribadinya.
Untuk mas kahwin, Sissy menerima seutas gelang emas bernilai RM6,840 manakala adat pertukaran hantaran diteruskan dengan tiga dulang daripada pihak pengantin perempuan dibalas lima dulang daripada pihak lelaki.
Salah satu hantaran yang paling mencuri perhatian ialah nombor plat kereta khas, SIS5795 iaitu gabungan kreatif menyatukan nama Sissy dan tahun kelahirannya, 1995.
Jenis kenderaan yang bakal menyandang nombor plat eksklusif itu bagaimanapun masih dirahsiakan.
Turut menjadi sorotan ialah hadiah bulan madu ke Rom, Itali yang melambangkan langkah pertama pasangan itu memulakan kehidupan baharu sebagai suami isteri.
Jumlah wang hantaran tidak didedahkan atas permintaan keluarga bagi menjaga privasi kedua-dua pihak.
Pasangan itu mula berkenalan awal tahun ini ketika Sissy mendapatkan rawatan di tempat Dr Zamir bertugas.
Hubungan yang pada awalnya hanya antara doktor dan pesakit perlahan-lahan berkembang menjadi persahabatan kemudian bertunas menjadi cinta hingga membawa mereka ke jinjang pelamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








