Wanita ditahan kes tipu pelaburan palsu terhadap penjawat awam
SARATOK – Seorang wanita tempatan berusia 39 tahun ditahan polis selepas didakwa terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan yang menyebabkan seorang penjawat awam kerugian RM249,800.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) IPD Saratok susulan laporan polis yang dibuat mangsa, seorang guru berusia 30 tahun dari Sibu.
Menurut beliau, mangsa mula berurusan dengan suspek selepas melihat iklan pelaburan di laman sosial Facebook ketika berada di Sarikei pada 17 November tahun lalu.
“Mangsa kemudian dihubungkan melalui aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan sembang sebelum membuat transaksi pertama.
“Seterusnya, mangsa membuat sembilan transaksi ke atas beberapa penama melalui akaun bank sendiri termasuk satu transaksi melalui mesin deposit tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Matthew, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan pelaburan dan hanya sempat mengeluarkan RM30,000 daripada jumlah keseluruhan wang yang dimasukkan.
Siasatan lanjut mendapati suspek merupakan pemilik akaun bank yang digunakan dalam transaksi tersebut.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku menyerahkan kad ATM, nombor PIN dan maklumat perbankan kepada individu lain kononnya untuk tujuan pinjaman wang selepas melihat iklan di Facebook.
“Suspek mendakwa tidak mengetahui akaunnya digunakan untuk kegiatan penipuan,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek dijadualkan didakwa di Mahkamah Majistret Saratok pada 22 Disember 2025.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi serta mengelakkan menyerahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


