Tunku Azizah mahu kerajaan naik taraf UIAM
PETALING JAYA – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah agar kerajaan mempertimbang peruntukan khas bagi menaik taraf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kini sudah lebih empat dekad menjadi institusi pendidikan utama negara.
Baginda yang juga Canselor UIAM bertitah, universiti itu memerlukan sentuhan baharu agar terus relevan dan mampu menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif untuk membentuk minda pelajar.
“Memandangkan universiti yang kita kasihi ini sudah berusia 43 tahun, sudah tiba masanya untuk diberi sedikit naik taraf, solekan di sana sini, dan mungkin juga ‘botox’ untuk menjadikannya kembali muda, segar dan berseri,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen UIAM, seperti dilaporkan FMT.
Tunku Azizah turut menekankan hasrat untuk memainkan peranan lebih aktif dalam perjalanan universiti bukan sekadar hadir pada istiadat konvokesyen saban tahun.

“Saya ingin beriringan bersama anda, untuk mendengar dan menyumbang secara bermakna kepada masa depan institusi yang saya cintai ini. Pintu saya sentiasa terbuka,” titah baginda sambil menekankan rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap universiti tersebut.
Baginda menambah, UIAM dan para pensyarahnya memikul amanah besar membentuk generasi masa depan, justeru universiti perlu memastikan hanya tenaga akademik terbaik diambil, dikekalkan dan dipupuk untuk mengangkat kedudukannya.
Titahnya, nilai sebenar UIAM tidak wajar diukur semata-mata pada ranking, sebaliknya pada integriti, perwatakan serta kecemerlangan graduan yang dihasilkannya.
“Kita mesti menegakkan piawaian tertinggi. Tiada ruang untuk sesiapa merendahkan martabat UIAM. Marilah kita memulihkan kehormatannya sebagai universiti paling dihormati dan berprestij di Malaysia serta antara yang terbaik di dunia,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















