BERITA SEMASA

Shamsul Iskandar enggan ulas isu letak jawatan, mahu tumpu perbicaraan

SHAH ALAM – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, memilih untuk tidak mengulas desakan supaya beliau meletak jawatan dalam PKR susulan lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Shamsul Iskandar, 51, sebaliknya menyatakan mahu menyerahkan tumpuan sepenuhnya kepada proses perbicaraan pertuduhan tersebut.

Ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini, Shamsul Iskandar hanya memohon penyokong mendoakan beliau berjaya membersihkan nama melalui prosiding mahkamah.

“Terus berdoa. Kita cerita kes dulu, politik nanti,” ujarnya ringkas.

Baca juga : Shamsul Iskandar dan Albert Tei tidak mengaku salah terima, beri rasuah RM64,924

Sebagai rekod, Shamsul Iskandar, kini memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka serta Ketua Cabang Hang Tuah Jaya.

Terdahulu, Shamsul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas satu pertuduhan rasuah berjumlah RM64,924.

Mengikut pertuduhan, Shamsul Iskandar sebagai ejen kerajaan iaitu Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri didakwa memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur daripada Albert Tei.

Semalam, Shamsul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03.

Kesemua suapan itu sebagai dorongan bagi membantu syarikat yang mempunyai kepentingan kepada Albert Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button