BERITA SEMASA

Agong kurnia dua ‘air boat’ bantu operasi banjir

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan kebenaran kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan dua ‘air boat’ berkuasa tinggi milik baginda bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir di beberapa negeri.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, perkenan itu diberikan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu serta keperluan meningkatkan kesiapsiagaan agensi keselamatan sekiranya berlaku gelombang kedua banjir.

Menurut hantaran tersebut, dua bot berkenaan kini ditempatkan di Istana Negara dan dijangka meningkatkan kecekapan operasi, termasuk mempercepatkan penghantaran bantuan kecemasan ke kawasan yang sukar dicapai.

Pada Mac 2023, tiga unit ‘air boat’ milik Seri Paduka turut digerakkan bagi menyelamat dan menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Johor, termasuk masyarakat Orang Asli di Kluang yang terputus hubungan ketika kejadian itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurniaan itu sebagai lambang keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap keselamatan serta kebajikan rakyat.

“Menjunjung kasih KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas limpah pengurniaan bot bagi tujuan operasi menyelamat ketika musibah banjir.

“Kurniaan ini memperlihatkan keprihatinan tinggi Baginda terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut Perdana Menteri, dukungan Seri Paduka akan memperkukuh kesiapsiagaan Kerajaan MADANI dan melancarkan gerak kerja penyelamatan bersama agensi di lapangan jika berlaku gelombang kedua banjir.

Setakat pagi ini, empat negeri masih terjejas banjir melibatkan Perak (2,690 mangsa), Selangor (699), Perlis (207) dan Pahang (28).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button