UiTM hantar 44 atlet mewakili negara ke Sukan SEA 2025
SHAH ALAM – Seramai 44 atlet dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) terpilih mewakili negara pada temasya Sukan SEA Thailand 2025, bulan ini.
Pencapaian itu juga membuktikan kedudukan UiTM sebagai antara penyumbang utama bakat muda negara terus diperkukuh.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, pihaknya berbangga dengan komitmen dan ketabahan atlet muda yang mampu menyeimbangkan antara kecemerlangan akademik serta prestasi sukan.
“Harapan kami agar mereka dapat membantu menyumbang pingat kepada negara dan keduanya untuk mereka selamat pergi dan kembali.
“Dari segi pingat, kita tidak meletakkan harapan khusus (jumlah pingat) bagaimanapun atlet kita memang ada menyumbang pingat sebelum ini. Jadi kita harap mereka boleh terus menyumbang pingat untuk negara, Insya-Allah,” katanya memetik laporan BH Online.
Dr Shahrin ditemui selepas Majlis Perjumpaan Atlet Sukan SEA di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini hari ini.
Penyertaan atlet UiTM kali ini meliputi pelbagai disiplin termasuk besbol, sofbol, petanque, woodball, kayak, memanah, ragbi, angkat berat, pelayaran, kanu, bola baling, dragon boat, berbasikal, hoki, futsal, bola jaring dan karate.
Bagi atlet petanque, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, 26, beliau berazam untuk membawa pulang pingat emas pada penyertaan kali kelimanya di Sukan SEA.
“Saya mula menyertai Sukan SEA pada 2017 dan pernah membawa pulang pingat perak dan gangsa sebelum ini.
“Justeru, kali ini saya berazam serta yakin dapat bawa balik pingat emas memandangkan dari segi persiapan sudah bersedia 90 peratus,” katanya.
Sementara itu, atlet bola jaring, Adalia Jasmine Mustazal, 19, turut meletakkan sasaran untuk meneruskan kecemerlangan atlet senior yang merangkul emas pada kejohanan terdahulu.
“Ini adalah penampilan sulung saya di pentas Sukan SEA. Dari segi persiapan, kami sudah bersedia. Insya-Allah, kami akan melakukan yang terbaik,” katanya.
Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung pada 9 hingga 20 Disember ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








