MOM, MSN sedia aktifkan pelan kecemasan Sukan SEA di Thailand
KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sedia mengaktifkan pelan kecemasan bagi memastikan keselamatan kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 di Thailand, susulan bencana banjir yang melanda 10 wilayah selatan negara itu.
Langkah berjaga-jaga itu diambil selepas situasi di kawasan Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat dilaporkan semakin memburuk hingga memaksa ribuan penduduk dipindahkan.
Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA Thailand, Datuk Kenny Goh berkata, pihak urus setia sentiasa berhubung dengan jawatankuasa penganjur untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi banjir dan bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan.
“Masih terlalu awal untuk membuat keputusan tetapi keselamatan kontinjen adalah keutamaan. Jika keadaan memerlukan, kami akan mengaktifkan pelan kontingensi,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau ditemui selepas mengadakan sesi lawatan latihan skuad skuasy kebangsaan di ibu negara semalam.
Ditanya mengenai kemungkinan perubahan logistik termasuk pergerakan atlet ke Songkhla menggunakan jalan darat atau penerbangan, Kenny menegaskan perkara itu akan dibincangkan selepas pemantauan lebih lanjut.
“Keutamaan adalah keselamatan. Kalau perlu menukar perancangan, kami akan lakukan.
“Buat masa ini, kita masih memantau situasi dan menunggu maklum balas daripada pihak penganjur. Temasya bermula minggu kedua Disember, jadi masih ada masa untuk sebarang pelan kecemasan,” tambahnya.
Sebelum ini, MSN mengesahkan sebahagian kontinjen Malaysia akan bergerak menggunakan bas secara berperingkat mengikut tarikh acara masing-masing dan bermalam di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah sebelum meneruskan perjalanan ke Songkhla.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








