SPM bermula lancar di seluruh negara, calon terjejas banjir dibantu KPM
PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi kertas bertulis yang bermula hari ini berjalan lancar di seluruh negara, termasuk di beberapa negeri yang sedang berdepan banjir.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, semua 16 Pengarah Pendidikan Negeri memaklumkan bahawa pusat peperiksaan berada dalam keadaan bersedia dan peperiksaan dapat dijalankan seperti yang ditetapkan.
“Meskipun banjir menjejaskan beberapa kawasan, hanya 259 calon SPM dilaporkan terkesan, namun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil tindakan awal bagi memastikan mereka tetap dapat menduduki peperiksaan,” memetik BuletinTv3.
Beliau berkata, kesemua calon berkenaan telah dikenal pasti lebih awal, ada yang dipindahkan ke asrama dan ada yang dibantu oleh agensi kerajaan lain selepas terputus perjalanan menuju ke pusat peperiksaan.
“Langkah itu sudah dimulakan sejak semalam bagi memastikan tiada calon terkandas,” katanya lagi.
Dr Mohd Azam turut meninjau persediaan peperiksaan di SMK Putrajaya Presint 11(1) pagi ini.
Menurut beliau, Ops Payung turut digerakkan bagi menyelaras persiapan peperiksaan dengan penglibatan NADMA, APM, Bomba, Polis serta agensi lain, terutama di kawasan yang turut menempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dalam dewan sekolah.
“Lembaga Peperiksaan turut mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama pelbagai agensi bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas kepada calon dan pengawas peperiksaan.
“Pejabat Pendidikan Daerah turut diarahkan untuk memastikan segala langkah bantuan dan sokongan dilaksanakan mengikut keperluan semasa,” katanya lagi.
Untuk rekod, 413,372 calon menduduki SPM tahun ini yang terdiri daripada pelbagai kategori sekolah di seluruh negara.
Majoriti calon ialah daripada Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dengan jumlah 358,817 orang, manakala selebihnya melibatkan calon sekolah agensi kerajaan lain, Sekolah Menengah Agama Negeri, sekolah swasta berdaftar, calon persendirian serta pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat.
Sementara itu, isu lain berkaitan peperiksaan turut menarik perhatian, termasuk dakwaan kebocoran soalan SPM yang kini sedang disiasat pihak berkuasa.
Peperiksaan SPM akan berlangsung sepanjang beberapa minggu mendatang dengan pemantauan berterusan KPM bagi memastikan kelancarannya meskipun negara sedang berdepan cuaca tidak menentu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








