Kementerian Kerja Raya arah penilaian awal kebakaran SK Baling
PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan penilaian awal kerosakan dan tahap keselamatan struktur Sekolah Kebangsaan Baling yang musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KKR pihaknya telah mengarahkan pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) ke lokasi sebaik sahaja kawasan itu disahkan selamat oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, KKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras tindakan susulan, termasuk kerja-kerja pembaikan dan pelaksanaan langkah keselamatan tambahan.
“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian pagi tadi, orang ramai dikejutkan dengan kepulan asap tebal disebabkan kebakaran pada bahagian bumbung bangunan dua tingkat sekolah itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada jam 10.46 pagi.
“Sepasukan anggota BBP Baling bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.
“Operasi turut dibantu jentera bertangki dari BBP Pengkalan Hulu, Perak dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran,” katanya.
Menurutnya, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu kerana berlaku pada hari cuti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















