Tempoh gangguan operasi tren KTMB akibat insiden curi kabel lebih 30 hari
KUALA LUMPUR – Insiden curi kabel melibatkan aset milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada tahun ini menyebabkan purata gangguan perjalanan selama lebih 30 hari (741 jam) bagi perkhidmatan KTM Komuter dan 24 hari (562 jam) bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kegiatan yang mengganggu sistem persemboyanan KTMB yang mengawal pergerakan tren itu menyebabkan kelewatan serta kerugian masa kepada ribuan penumpang.
Bagaimanapun katanya, insiden yang berlaku tidak menyebabkan perkhidmatan antara bandar tidak terjejas.
“Dari Januari hingga Ogos lalu, 104 kes kecurian kabel direkodkan di tujuh negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kuala Lumpur.
“Tiada kes dicatatkan di Perlis, Melaka, Johor dan Kelantan. Tahun lalu pula menyaksikan 150 kes sepanjang tahun,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Chong Zhemin (PH-Kampar) berhubung jumlah insiden, kerugian masa pengguna serta tindakan yang diambil bagi menangani isu berkenaan.
Loke menjelaskan KTMB kini memperhebat tindak balas bagi menangani masalah itu melalui kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk operasi khas dan rondaan 24 jam oleh Polis Bantuan KTMB di kawasan panas, terutama di Lembah Klang.
Selain itu, risikan, intipan dan tindakan turut dilakukan bagi membanteras sindiket pasaran gelap logam bersama PDRM.
Katanya, sebanyak 193 penutup manhole kabel telah disimen, selain pembaikan pagar yang bocor di sektor utara.
Loke memaklumkan, pemasangan 193 penutup manhole kabel yang disimen turut dilakukan di sektor utara dan pembaikan pagar yang bocor, selain cadangan pemasangan kamera kamera litar tertutup (CCTV) dan penggunaan dron di lokasi hotspot.
Sementara itu katanya, KTMB turut menyalurkan maklumat kepada PDRM dan AADK, selain mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi membanteras kewujudan sarang penagih dadah berhampiran landasan, yang dipercayai antara punca utama insiden kecurian kabel.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








