BERITA SEMASALUAR NEGARA

Ketegangan Beijing-Tokyo goncang sektor penerbangan, pelancongan

BEIJING – Hubungan China-Jepun yang kembali panas kini menggugat sektor penerbangan dan pelancongan apabila ratusan ribu tiket penerbangan dibatalkan dalam tempoh hanya beberapa hari, menurut laporan The Guardian.

Krisis itu tercetus selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, membuat kenyataan bahawa Tokyo mungkin akan campur tangan secara ketenteraan jika China menceroboh Taiwan.

Kenyataan tersebut mencetuskan kemarahan Beijing, sekali gus mendorong kerajaan China mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya supaya mengelak negara matahari terbit itu sebagai pilihan destinasi.

Langkah itu mencetuskan reaksi segera daripada sekurang-kurangnya tujuh syarikat penerbangan China, termasuk tiga syarikat yang menawarkan pembatalan percuma kepada penumpang.

“Data perlepasan yang dikumpulkan penganalisis penerbangan, Li Hanming, menunjukkan sekitar 500,000 tiket dibatalkan antara 15 hingga 17 November. Angka itu disifatkan terbesar sejak pandemik Covid-19,” kata Li Hanming seorang penganalisis penerbangan.

Hanming menambah bahawa walaupun jumlah pembatalan itu amat besar, impak kepada syarikat penerbangan China dijangka tidak ketara kerana pasaran China-Jepun tidak sebesar pasaran domestik atau destinasi antarabangsa yang lain.

Sementara itu, Sichuan Airlines membatalkan semua penerbangan antara Chengdu dan Sapporo dari Januari hingga Mac tahun depan, manakala Spring Airlines menutup beberapa laluan ke Jepun atas alasan penyusunan semula operasi syarikat.

Untuk rekod, China merupakan pasaran pelancong kedua terbesar bagi Jepun dan pelajar China pula menjadi kumpulan terbesar dalam populasi pelajar antarabangsa negara tersebut.

Dalam perkembangan lain, AFP memetik sumber kerajaan China bahawa import makanan laut dari Jepun akan digantung sebagai sebahagian daripada tekanan diplomatik yang semakin memuncak.

Bagi meredakan keadaan, Jepun telah menghantar seorang diplomat kanan ke Beijing bagi mengadakan rundingan dan mendekatkan kembali hubungan dua negara yang kini berada dalam keadaan paling tegang tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button