PERKESO: Diskaun 80 peratus tunggakan caruman antara tarikan Festival Mega iLINDUNGu
KUALA LUMPUR – Para majikan yang bergelut dengan tunggakan caruman kini berpeluang menikmati potongan sehingga 80 peratus apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menawarkan diskaun khas Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sempena penganjuran Festival Mega iLINDUNGu @ Pulau Pinang minggu ini.
Program yang berlangsung dari 21 hingga 23 November di tapak EVOKE, Bukit Mertajam itu merupakan hentian kedua festival berkenaan selepas sambutan luar biasa di Shah Alam sebelum ini.
Menurut Ketua Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely, inisiatif itu memberi peluang kepada majikan menyelesaikan tunggakan sambil memupuk budaya pematuhan terhadap caruman keselamatan sosial.
“Majikan yang berdepan isu FCLB digalakkan hadir sendiri ke lokasi program. Tawaran sehingga 80 peratus ini bukan selalu diberikan, jadi ia wajar dimanfaatkan sebaiknya. PERKESO mahu membantu majikan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya.
Seiring penganjuran festival itu, PERKESO turut memperluas manfaat kepada masyarakat melalui Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs, yang menghimpunkan 20 majikan dengan lebih 2,000 kekosongan jawatan meliputi pelbagai sektor, termasuk peluang oleh Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO.
Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan di kaunter khas PERKESO seperti semakan caruman, pendaftaran skim perlindungan sosial LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih, serta khidmat nasihat berkaitan keselamatan sosial.
Dalam satu kenyataan PERKESO memaklumkan, pelbagai pengisian menarik turut dirancang sepanjang tiga hari itu, termasuk ceramah agama oleh Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari.
Turut menanti pengunjung saringan kesihatan percuma, pertandingan e-Sukan, segmen bual bicara, bengkel dekorasi kek, persembahan silap mata dan pelbagai aktiviti kecergasan seperti senamrobik, Drum Circle, Zumba dan Pound.
Menurut PERKESO, seni warisan Pulau Pinang turut diangkat melalui persembahan Boria dan Chingay, manakala kemeriahan festival dipertingkatkan lagi dengan kehadiran selebriti seperti Bell Ngasri, Duo Elite, Baby Nassuhada, Mek Yun, Daniel Fong, Rara & Oda serta Satthiya Kandi dan suami.
“Pada sebelah malam, pengunjung bakal disajikan dengan Konsert iLINDUNGu menampilkan artis popular seperti Hyper Act, XPDC, Elite, Ruffedge, UNIC dan Apex Tajuddin.
“Lebih 60 gerai jualan turut dibuka dengan pelbagai pilihan makanan dan produk komuniti, selain peluang memenangi cabutan bertuah bernilai lebih RM20,000 termasuk motosikal, basikal, barangan elektrik dan perkakas dapur,” menurut kenyataan itu.
Festival berkenaan turut diselitkan sesi bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bagi memberi kefahaman mendalam mengenai keselamatan sosial dan peranan PERKESO dalam melindungi rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








