BERITA SEMASA

SPR keluarkan 22,881 kertas undi pos bagi PRN Sabah ke-17

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 22,881 kertas undi pos kepada mereka yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan pada 17 dan 18 November oleh petugas undi pos di semua 73 Bahagian Pilihan Raya Negeri dengan kehadiran ejen undi pos mewakili parti atau calon bertanding bagi memastikan ketelusan proses.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, jumlah tersebut merangkumi 21,362 kertas undi pos kategori 1A melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media.

“Ia diikuti 336 kertas undi pos kategori 1B membabitkan warganegara Malaysia di luar negara dan 1,183 kertas undi pos kategori 1C bagi agensi serta organisasi.

“SPR ingin mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi dengan betul, mengisi Borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) dengan lengkap serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi, 29 November ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan agar pengundi pos menjaga kerahsiaan undi masing-masing dan tidak merakam atau menularkan gambar kertas undi pos di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button