BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Datuk Bandar KL tinjau lokasi air bertakung, ambil langkah susulan

KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud turun padang meninjau beberapa lokasi dinaiki air susulan hujan lebat melibatkan kawasan Jalan Pudu berhampiran Hospital Tung Shin, Jalan Maharajalela berdekatan Stesen Monorel Maharajalela dan Jalan Rahmat, di sini semalam.

Tinjauan turut disertai jabatan dan agensi berkaitan bagi menyelaras tindakan segera serta susulan.

“Beberapa langkah telah dikenalpasti dan sedang dilaksanakan termasuk kerja pembersihan sistem saliran oleh Alam Flora Sdn. Bhd.

“Turut dilakukan pembesaran outlet longkang bagi memastikan aliran air permukaan dapat masuk ke dalam sistem saliran dengan lebih cepat dan berkesan sekali gus mengelakkan berlakunya genangan,” kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan.

DBKL berkata, kerja menaik taraf sistem saliran sedia ada akan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan menampung aliran air pada masa hadapan.

“Selain itu, cadangan pemasangan sistem amaran awal (siren) berdasarkan aras air sungai utama kini sedang diperincikan untuk memberi makluman awal kepada orang awam serta membantu pengalihan kenderaan sekiranya paras air meningkat secara mendadak,” kata kenyataan itu lagi.

DBKL
Fadlun turun padang bersama beberapa jabatan dan agensi berkaitan.

Menurut DBKL, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. pula akan melaksanakan pengubahsuaian teknikal terhadap sistem saliran di Stesen Monorel Maharajalela sebagai sebahagian langkah penyelesaian.

Pada sebelah petang, Datuk Bandar sekali lagi turun ke lokasi di Jalan Pudu untuk meninjau perkembangan kerja menaik taraf saliran yang telah dimulakan.

“Langkah-langkah yang dilaksanakan ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan aliran air dan mengurangkan risiko kejadian air bertakung seterusnya memastikan keselesaan dan keselamatan warga kota menjalani aktiviti harian,” katanya.

DBKL menegaskan komitmen pihaknya untuk terus melaksanakan tindakan proaktif melalui peningkatan infrastruktur dan penggunaan teknologi demi keselamatan, kelancaran pergerakan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button