Surat tawaran haji hanya diberi jika cukup simpanan minimum RM15,000
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan bahawa bakal jemaah haji hanya layak menerima surat tawaran apabila mempunyai simpanan minimum RM15,000 dalam akaun masing-masing bagi memastikan persediaan kewangan dan keselesaan sepanjang menunaikan ibadah haji.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun berkata, sehingga kini lebih 26,000 surat tawaran telah dikeluarkan daripada kuota keseluruhan 31,600 jemaah Malaysia bagi musim Haji 1447H.

“Surat tawaran dikeluarkan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan, kesihatan dan persediaan institusi bakal jemaah haji.
“Mereka yang belum mencapai simpanan minimum masih berpeluang menambah simpanan sehingga April 2026 untuk menerima tawaran,” katanya ketika sidang akhbar sempena Majlis Pra Pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan ke-4 (KHUP 4) di sini, hari ini seperti dilaporkan Kosmo! Online.
Beliau turut menjelaskan bahawa TH membuka proses rayuan bagi memastikan golongan tertentu diberi keutamaan termasuk jemaah haji mahram, pengiring berusia 75 tahun ke atas serta bakal jemaah berstatus OKU.
Mohd Hisham menegaskan walaupun terdapat cadangan permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, kuota rasmi kekal 31,600 orang.
Keputusan itu dibuat pihak Arab Saudi bagi mengekalkan keselamatan dan keselesaan jemaah.
“Keselamatan dan keselesaan jemaah tetap menjadi keutamaan TH. Walaupun ada permintaan tambahan, kuota tidak ditambah untuk memastikan pengurusan haji berjalan lancar seperti tahun sebelumnya,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








