AGM MIC lulus keluar BN, sertai PN
SHAH ALAM — Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC sebulat suara meluluskan usul untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyertai Perikatan Nasional (PN), sekali gus membuka laluan kepada parti itu membina platform baharu yang lebih inklusif kepada masyarakat India di Malaysia.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap situasi politik semasa negara dan keupayaan MIC untuk memainkan peranan lebih efektif dalam BN.
Menurutnya, kerjasama sedia ada tidak lagi memberi ruang mencukupi untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat India secara optimum.
“Mesyuarat AGM ke-79 MIC sebulat suara bersetuju bahawa MIC bersedia menamatkan penyertaan dalam gabungan BN, tertakluk kepada proses dan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan MIC,” katanya ketika membentangkan Pindaan Perlembagaan dan Resolusi AGM MIC hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan mendalam bersama ahli akar umbi, pimpinan bahagian, cawangan serta kepimpinan MIC negeri dan pusat, termasuk pemegang jawatan serta perwakilan dari seluruh negara.
“Walaupun keputusan telah dicapai, perwakilan bersetuju agar pelaksanaannya ditangguhkan sehingga mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bagi membuat keputusan terakhir,” katanya lagi.
Saravanan turut berkata, penyertaan MIC bersama PN bertujuan membina platform baharu yang berprinsip, inklusif dan memberi ruang lebih luas kepada suara masyarakat India, selain menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








