Ewon bukan wira, peletakan jawatan isu 40 peratus Sabah mainan sandiwara – Loke
KOTA KINABALU – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menegur peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berhubung isu hak Sabah 40 peratus, yang didakwa lebih kepada “mainan sandiwara” daripada tindakan berani.
Menurut Loke, Kabinet Persekutuan telah mengadakan mesyuarat khas pada 11 November lalu semata-mata untuk membincangkan isu tersebut langkah luar biasa yang menunjukkan kepentingannya.
“Selepas perbincangan menyeluruh, Kabinet mencapai kata sepakat untuk tidak merayu keputusan mahkamah berkaitan hak 40 peratus Sabah,” katanya pada sidang media di Luyang, di sini, petang tadi.
Beliau betkata, kerajaan bersetuju untuk merayu aspek tertentu dalam penghakiman mahkamah yang boleh menimbulkan implikasi penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan sejak 1974.
“Jika perkara itu tidak dicabar, ia seolah-olah kerajaan semasa mengaku, bagi pihak pentadbiran terdahulu, telah menyalahgunakan kuasa yang boleh membawa implikasi jenayah,” katanya lagi.
Loke turut berkata, rayuan itu bukan bertujuan menafikan hak Sabah 40 peratus, sebaliknya hanya membabitkan asas undang-undang yang dipertikaikan.
Beliau turut mengkritik Ewon kerana mendakwa Kabinet mengabaikan pandangan Sabah sedangkan beliau gagal menghadiri mesyuarat khas Kabinet untuk membincangkan isu itu.
“Ewon sering menonjolkan dirinya sebagai wira, tetapi hakikatnya beliau tidak hadir pada mesyuarat tersebut.
“Peguam Negara hadir untuk menjelaskan perkara ini, tetapi beliau mengelak,” katanya lagi.
Tambah Loke, walaupun peletakan jawatan diumumkan pada 8 November, ia belum berkuat kuasa dan Ewon masih bercuti.
“Secara teknikal, beliau masih ahli Kabinet dan mengetahui mesyuarat itu berlangsung,” katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan keberanian Ewon untuk menyuarakan bantahan atau mencabar Peguam Negara secara rasmi di Kabinet.
“Jika benar-benar berani, hadapilah Kabinet dan nyatakan hujah secara rasmi sebelum meletak jawatan.
“Itu barulah wira sebenar. Kini, beliau hanya mainan sandiwara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








