BERITA SEMASASUKAN

Sze Fei-Izzuddin mara ke separuh akhir Masters Jepun

KUALA LUMPUR – Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani melangkah ke separuh akhir Masters Kumamoto di Jepun, sekali gus terus menghidupkan misi memburu slot ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan depan.

Beregu lelaki negara yang kini berada di ranking keempat dunia itu mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik selepas mengatasi gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei–Yang Po Hsuan 21-16, 10-21, 21-16 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Wilayah Kumamoto.

Dalam pertemuan tersebut, Sze Fei–Izzuddin bermula garang dengan menguasai set pertama, namun hilang rentak pada set kedua apabila lawan bangkit untuk memaksa permainan ke set penentuan.

Bagaimanapun, ketenangan mereka di saat genting menjadi kunci utama apabila memperkemaskan permainan pada set ketiga, sekali gus menamatkan perlawanan dalam tempoh 46 minit.

Kemenangan itu amat signifikan kerana pasangan negara berkenaan perlu muncul juara kejohanan di Jepun bagi mengekalkan peluang beraksi di Jelajah Dunia Akhir yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$3 juta (RM12.40 juta).

Beregu negara itu kini bersaing rapat dengan rakan senegara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun untuk merebut slot kedua Malaysia ke Jelajah Dunia Akhir, selepas pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik sudah pun layak.

Sze Fei–Izzuddin dijadualkan berdepan pasangan tuan rumah, Hiroki Midorikawa–Kyohei Yamashita pada aksi separuh akhir esok bagi menentukan tempat ke final.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button