BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

TEKUN jalin kerjasama dengan AKPK, perkukuh mekanisme pinjaman – Ramanan

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mampu memastikan dana pusingan dapat dimanfaatkan semula bagi membantu lebih ramai usahawan kecil di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kerjasama itu membolehkan akaun berstatus pinjaman tidak berbayar (NPL) disusun semula melalui program pengurusan kredit AKPK, sekali gus memberi ruang kewangan lebih stabil kepada peminjam mikro untuk melunaskan komitmen.

Beliau berkata, selain sistem AKPK, akaun NPL peminjam turut dilaporkan kepada biro kredit seperti Experian dan CTOS bagi memastikan pemantauan berterusan serta tindakan susulan yang lebih tersusun.

“Kita juga mempergiat kutipan daripada khidmat bantuan yang lebih berkesan dan lebih aktif, selain memperketatkan kelulusan permohonan baharu.

“Menerusi kempen berterusan bayar balik di seluruh negara, ia telah merekod pencapaian yang agak baik kerana jumlah NPL yang sedia ada sekarang pun sudah turun kepada angka satu digit,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 12 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan bernilai RM1,030,172,700 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, selepas disokong dengan lebih suara bersetuju.

Selain KUSKOP, anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan bernilai RM1,567,627,800 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk tahun 2026 turut diluluskan selepas dibahaskan oleh 20 Ahli Parlimen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button