BERITA SEMASA

Anwar jelaskan isu 40 peratus hasil Sabah

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan isu tuntutan 40 peratus hasil cukai Sabah dalam satu rakaman video yang tular, ketika berinteraksi dengan orang ramai di Gaya Street, di sini, hari ini.

Rakaman berdurasi hampir dua minit itu memaparkan perbualan spontan antara Anwar dan seorang lelaki yang mempersoalkan bila kerajaan Persekutuan akan menyalurkan semula 40 peratus hasil cukai kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam rakaman tersebut, Anwar dilihat menjawab dengan tenang dan menegaskan isu berkenaan perlu difahami berdasarkan kedudukan sebenar perlembagaan serta angka hasil yang diperoleh dan disalurkan semula kepada negeri itu.

“Kalau tak setuju, bincanglah elok-elok. Ini 40 peratus, 40 peratus… apa?. Jangan dengar cakap orang, dengar saya, saya Perdana Menteri,” katanya dalam video itu.

Anwar berkata, hasil cukai yang dikutip daripada Sabah berjumlah kira-kira RM10 bilion, manakala kerajaan Persekutuan menyalurkan semula kira-kira RM17 bilion kepada negeri itu dalam bentuk peruntukan dan tanggungjawab persekutuan di bawah MA63.

“Kita ambil RM10 bilion, kita bagi balik RM17 bilion. Jadi mana lagi 40 peratus itu? 40 peratus itu lain, ia melibatkan hasil cukai dan perkara dalam perlembagaan,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menolak hak Sabah di bawah MA63, namun mengingatkan supaya rakyat tidak terpengaruh dengan kempen atau kenyataan politik yang tidak berasaskan fakta.

“Bincang dengan elok, jangan hanya dengar kempen orang. Kita bagi lebih tujuh bilion tambahan daripada negeri di Semenanjung,” katanya lagi.

Video berkenaan kini tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna, khususnya rakyat Sabah yang mengikuti rapat perkembangan tuntutan hasil negeri itu.

Terdahulu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sedang meneruskan rundingan bagi memuktamadkan mekanisme pembayaran 40 peratus hasil cukai berkenaan, selaras dengan semangat dan peruntukan MA63.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button