BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANI

Putrajaya FOI 2025: Memacu idea, mengukuh kolaborasi nasional

PUTRAJAYA – Festival of Idea Putrajaya 2025 (Putrajaya FOI) yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengukuhkan peranannya sebagai platform berprestij bagi menghimpunkan idea, inovasi dan kolaborasi strategik antara institusi pengajian tinggi (IPT), industri dan masyarakat.

Bertemakan “MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea”, festival yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 4 hingga 8 November itu mengetengahkan empat kluster utama iaitu Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS), MyIDEAS Connect, Global Higher Education Summit & Showcase serta Advanced TVET & Entrepreneurship.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri acara sempena Putrajaya FOI 2025.

Acara tersebut menekankan kepentingan pendidikan, penyelidikan dan teknologi yang dipandu oleh etika serta memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Putrajaya FOI 2025 bukan sekadar acara akademik, tetapi wadah memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang berpaksikan kebijaksanaan dan kemanusiaan.

“Teknologi mesti dipandu oleh etika dan pendidikan harus berkhidmat untuk kemanusiaan.

“Kita mahu menjadikan idea sebagai sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia agar setiap individu tanpa mengira latar belakang dapat menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

FOI - Zambry Abd Kadir
Dr Zambry berucap dalam satu acara ketika berlangsungnya penganjuran Putrajaya FOI 2025.

Menurut beliau, penganjuran FOI 2025 membuka ruang kepada mahasiswa dan penyelidik menzahirkan kreativiti serta membina jambatan antara idea dan tindakan sebenar melalui kerjasama industri dan komuniti.

Hari pertama FOI menyaksikan suasana meriah di PICC dengan pelbagai booth interaktif, arena diskusi serta zon kerjaya yang menarik minat pelajar dan pengunjung dari seluruh negara.

Pelajar jurusan Pendidikan Pengajian Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Rafiqah Nurdina Rahime menyifatkan pengalamannya menyertai festival itu sebagai sesuatu yang luar biasa.

FOI - Pengunjung
Rafiqah Nurdina teruja menghadiri Putrajaya FOI 2025 buat kali pertama dan menyifatkan banyak input menarik diperoleh.

“Bukan sahaja banyak input tentang kerjaya dan keusahawanan, malah saya teruja dengan pameran teknologi dan aktiviti interaktif yang membuka minda,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Hari kedua pula menjadi tumpuan dengan penganjuran Sidang MyIDEAS dan Forum Pendidikan Tinggi Global yang mempertemukan pemimpin IPT, wakil industri serta agensi kerajaan.

Pelbagai memorandum persefahaman (MoU), perjanjian kerjasama (MoA) dan surat niat bersama (LoI) dimeterai, menandakan komitmen terhadap kolaborasi strategik antara universiti dan sektor industri.

Festival ini juga menyaksikan pemeteraian 68 perjanjian kerjasama strategik dengan pulangan pelaburan (ROI) lebih RM158 juta.

Selain itu, karnival kerjaya yang menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan daripada hampir 40 majikan turut memperkukuh peranan Putrajaya FOI sebagai jambatan antara dunia akademik dan pasaran kerja sebenar.

Salah satu tarikan utama FOI 2025 ialah Pameran Imersif Inovasi Sarjana Muslim, hasil kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) serta lima IPT lain termasuk UiTM, UTHM, USM, UniMAP dan UTM.

Pengarah Pusat Pengurusan Makmal Berpusat UniSZA, Prof Madya Dr Aryati Ahmad berkata, pameran tersebut menonjolkan sumbangan ilmuan Islam sejak abad ke-6 melalui enam segmen interaktif yang menggunakan teknologi imersif, kecerdasan buatan (AI) dan hologram.

FOI - Dr Aryati Ahmad
Dr Aryati merupakan Penyelaras Induk Pameran Imersif Inovasi Sarjana Muslim.

“Teknologi ini menjadikan pengalaman pengunjung luar biasa. Mereka bukan sahaja belajar sejarah tetapi turut ‘mengembara’ ke zaman kegemilangan Islam secara maya,” katanya yang juga Penyelaras Induk Pameran berkenaan.

Putrajaya FOI 2025 menarik lebih 500,000 pengunjung fizikal dan dua juta peserta digital, sekali gus menjadikannya antara acara pendidikan tertinggi negara paling berimpak.

Selain pameran akademik, festival turut menampilkan aktiviti komuniti seperti pemeriksaan kesihatan percuma dan perkhidmatan kerajaan bergerak bagi mendekatkan IPT dengan rakyat.

Dr Zambry bersama sebahagian peserta yang terlibat dalam persembahan sempena penganjuran Putrajaya FOI 2025.

Pelebaran program FOI ke 13 negeri sebelum kemuncaknya di Putrajaya turut membuktikan komitmen KPT untuk merakyatkan ilmu dan inovasi agar manfaat pendidikan tinggi dapat dirasai di seluruh pelosok negara.

Dengan semangat MADANI, FOI 2025 membuktikan bahawa pendidikan dan inovasi bukan sekadar ukuran pencapaian akademik, sebaliknya tanggungjawab sosial yang memperkukuh peradaban bangsa.

FOI
Sebahagian delegasi bagi segmen Global Higher Education Forum yang dianjurkan sempena Putrajaya FOI 2025..

Seperti ditegaskan Dr Zambry: “Setiap idea perlu dipandu oleh etika dan kemanusiaan agar pembangunan ilmu dan teknologi benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button