Eksport agro-makanan Malaysia ke China cecah RM45.31 bilion – KPKM
KUALA LUMPUR – Nilai dagangan dua hala sektor pertanian antara Malaysia dan China mencecah RM45.31 bilion pada tahun 2024, sekali gus menjadikan China rakan dagang utama negara dalam sektor pertanian global.
Daripada jumlah itu, nilai eksport Malaysia mencecah RM23.43 bilion meliputi pelbagai produk makanan manakala import dari China pula membabitkan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) susulan kunjungan hormat Setiausaha Jawatankuasa Parti dan Ketua Pengarah, Kesatuan Koperasi Bekalan dan Pemasaran Wilayah Hunan, Zhou Xiaoli ke negara ini baru-baru ini.
Ketibaan delegasi China itu disambut oleh Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.

Dalam pertemuan itu, pihak Hunan menyatakan minat untuk memperkukuh perdagangan dan meneroka peluang baharu kerjasama ekonomi dengan Malaysia dalam sektor agro-makanan.
“Wilayah Hunan yang terletak di kawasan tengah China terkenal sebagai pengeluar utama teh, limau (citrus) dan padi, selain giat membangunkan sistem pasaran hasil tani, inovasi pertanian serta jaringan koperasi tani.
“Malaysia pula menyuarakan hasrat untuk memperluas kerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk pengeluaran jagung bijirin untuk makanan ternakan (grain corn), pembangunan benih padi (seed development), serta penternakan moden babi (modern pig farming).
“Langkah ini sejajar dengan usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan negara melalui mekanisasi dan automasi pertanian berasaskan teknologi moden,” menurut kenyataan KPKM.
Selain itu, Isham turut memaklumkan kejayaan Malaysia mengeksport sarang burung layang-layang dan durian segar ke China, sambil menzahirkan harapan agar lebih banyak produk makanan halal Malaysia dapat menembusi pasaran negara berkenaan.
Malaysia juga berhasrat meningkatkan eksport hasil perikanan dan makanan laut ke China bagi memperkukuh jaminan bekalan makanan dan rantaian pertanian.
Menurut KPKM, kunjungan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak untuk memperkukuh hubungan strategik jangka panjang dalam sektor agro-makanan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








