JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah kekal hukuman 10 tahun penjara terhadap lelaki pukul bekas isteri hingga koma

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang peniaga yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin, 47, sehingga koma empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Atan Mustaffa Yusoff Ahmad selepas menolak rayuan difailkan tertuduh, Rosmaini Abd Raof, 42, terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember tahun lalu.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak permohonan silang oleh pihak pendakwaan untuk memanjangkan tempoh hukuman penjara ke atas tertuduh.

Jahidah koma
Keadaan Jahidah yang terlantar koma sejak empat tahun lalu selepas dipukul bekas suaminya. Gambar kiri, wajah Jahidah sebelum insiden tragik itu.

Menurut Atan Mustaffa, Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menilai keterangan saksi pendakwaan pertama (SP1) yang dianggap saksi paling boleh dipercayai.

“Dua eksibit yang dikemukakan oleh pihak pembelaan hanya muncul selepas tertuduh dipanggil membela diri.

“Sepanjang perbicaraan lebih dua tahun, versi baharu ini tidak pernah disebut oleh mana-mana saksi pendakwaan.

“Tertuduh juga satu-satunya individu yang mempunyai akses ke apartmen lokasi kejadian dan mengaku kepada SP1 bahawa dia telah memukul isterinya menggunakan tangan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau menambah, laporan perubatan menunjukkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian otak, memerlukan pembedahan dan tertuduh turut cuba melarikan diri ketika ditahan polis.

Mengulas rayuan silang pihak pendakwaan, Atan Mustaffa berkata mahkamah tidak akan mencampuri keputusan Mahkamah Sesyen mengenai tempoh hukuman.

“Pendakwaan berhujah hukuman 10 tahun terlalu ringan berbanding tahap kecederaan mangsa.

“Namun, walaupun mahkamah simpati terhadap keadaan mangsa yang masih memerlukan penjagaan rapi, kami tidak berpuas hati untuk campur tangan terhadap keputusan itu,” katanya.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu dan Umar Faiz Abdul Kohar, manakala tertuduh diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar, Muhammad Nor Tamrin dan Nurainaa Kamilah Zalizan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, namun jumlah jaminan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM25,000, selain dua syarat asal dikekalkan iaitu lapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.

Tertuduh sebelum ini hanya sempat menjalani 79 hari hukuman penjara selepas Mahkamah Sesyen mensabitkannya bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi kesalahan asal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button