AGAMAPENDAPATRENCANA

Rasuah: Perbuatan mengundang bala yang semakin diremehkan

Oleh DR AMANI NAWI

RASUAH bukanlah isu yang kecil. Ia ibarat barah yang perlahan-lahan memakan tubuh masyarakat dan negara. Jika dibiarkan, rasuah mampu meruntuhkan tamadun manusia, merosakkan institusi dan menjejaskan konsep keadilan.

Lebih parah, jenayah rasuah mencemarkan nilai-nilai murni Islam yang menekankan kerjasama dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

Jenayah rasuah mencemarkan nilai-nilai murni Islam dan mampu merosakkan institusi. – Gambar hiasan

Hari ini, hampir setiap hari kita melihat di dada-dada akhbar betapa banyaknya kes rasuah yang melibatkan pelbagai pihak, daripada golongan bawahan, pertengahan sehinggalah kepada pemimpin tertinggi.

Bahaya rasuah

Rasuah ialah pemberian yang bertujuan untuk menafikan hak orang lain atau menegakkan sesuatu yang salah.

Atau dalam erti kata yang lebih mudah, rasuah merupakan satu pemberian dalam apa jua bentuk sama ada wang ringgit, hadiah, barang berharga dan seumpamanya yang diberikan kepada seseorang untuk mencapai kepentingan peribadi.

Dalam Islam, rasuah bukan sekadar dilarang, ia tergolong dalam dosa besar.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

”Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Imam al-Zahabi pernah menjelaskan maksud ayat ini dengan tegas dan berkata: ”Jangan kamu hulurkan harta kepada hakim, maksudnya, jangan kamu cuba mempengaruhi mereka dengan wang atau hadiah supaya mereka memberikan kamu hak yang bukan milik kamu. Kamu tahu itu haram, jadi jangan buat.”

Orang yang menerima rasuah sebenarnya sedang memakan suhut iaitu harta yang haram dan kotor.

Allah SWT mengecam golongan ini dengan keras dalam Surah Al-Maidah ayat 62 yang bermaksud:

“Dan engkau akan melihat ramai daripada mereka berlumba-lumba melakukan dosa dan permusuhan, serta memakan harta secara haram. Sungguh buruk apa yang mereka lakukan.”

Aset Ismail Sabri
Rasuah merupakan satu pemberian dalam apa jua bentuk sama ada wang ringgit, hadiah, barang berharga dan seumpamanya yang diberikan kepada seseorang untuk mencapai kepentingan peribadi. – Gambar hiasan

Apabila jenayah rasuah berlaku, ia bukan saja menjejaskan hak individu, malah kepentingan awam turut tergadai.

Oleh sebab itu, agama Islam sangat tegas dalam membenteras jenayah rasuah daripada terjadi dan berleluasa dalam masyarakat.

Rasuah merosakkan sistem keadilan kerana keputusan tidak lagi dibuat berdasarkan kebenaran, tetapi ditentukan oleh habuan.

Yang kaya semakin berkuasa, manakala yang miskin semakin tertindas. Kesannya pembangunan menjadi pincang, ekonomi negara terjejas dan rakyat hilang kepercayaan kepada pemimpin.

Lebih membimbangkan, rasuah akan menjadi budaya yang mengundang laknat Allah SWT jika tidak dibanteras.

Hal ini kerana, generasi muda akan menganggap rasuah sebagai “jalan pintas” untuk mencapai kejayaan sedangkan ia sebenarnya mengundang kehancuran.

Pemberian yang dilaknat

Rasulullah SAW turut bersabda: “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Laknat bermaksud dijauhkan daripada rahmat Allah, satu peringatan keras bahawa rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang, tetapi juga dosa yang menutup pintu keberkatan hidup.

Nabi Muhammad SAW telah menjelaskan betapa beratnya hukuman bagi mereka yang menerima rasuah.

Dalam satu peristiwa, Baginda SAW melantik seorang lelaki untuk menjalankan tugas.

Apabila lelaki itu pulang, dia berkata: “Ini untuk kamu dan ini pula dihadiahkan kepada saya.”

Maka Rasulullah SAW pun naik ke mimbar dan bersabda:

”Demi Tuhan yang nyawa Muhammad berada di tangan-Nya, sesiapa yang mengambil sesuatu secara haram, dia akan datang pada Hari Kiamat bersama-sama dengan benda yang haram tersebut di atas tengkuknya, sama ada dalam bentuk unta yang berbunyi, lembu yang menguak atau kambing yang mengembek.”

Jelaslah bahawa sesiapa yang memakan hasil rasuah, dia sebenarnya sedang memikul dosa besar yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Individu yang memakan hasil rasuah sedang memikul dosa besar yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Kesimpulannya, rasuah tidak akan membawa keuntungan sebaliknya hanya mengundang bala.

Kita perlu sedar bahawa setiap ringgit yang diperoleh melalui rasuah bukan sahaja kotor di sisi undang-undang, bahkan najis di sisi agama.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menolak rasuah dan mencegahnya bermula daripada diri sendiri, keluarga, tempat kerja hinggalah ke seluruh masyarakat.

Hanya dengan menegakkan integriti dan amanah, negara akan makmur, rakyat akan sejahtera dan agama akan terpelihara.

* Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dr Amani Nawi
Dr Amani Nawi

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button