Dua lelaki mengaku salah menyamar sebagai polis trafik
IPOH – Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis trafik.
Tertuduh, Wong Jiun Wei, 24, dan Lim Boon Ping, 40, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan serentak dalam bahasa Kantonis oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka menyamar sebagai anggota polis trafik dan memperdaya dua individu dengan cara meminta wang daripada mangsa untuk tidak mengeluarkan saman atau tidak dibawa ke balai polis.
Kesalahan terbabit dilakukan di hadapan sebuah restoran di Jalan Lebuh Bercham Selamat 1, Taman Ipoh Timur Baru, pada pukul 12.38 pagi, 1 November 2025.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Jiun Wei yang bekerja sebagai juruteknik elektrik turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 89 Akta Polis iaitu memiliki peralatan polis.
Mengikut pertuduhan, dia telah didapati tanpa sebab-sebab yang sah memiliki peralatan polis iaitu sebuah topi berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertulis JSPT iaitu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan kasut JSPT bertulis PDRM.
Perbuatan berkenaan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 (Pindaan 2024) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan kemudian menetapkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda bagi kedua-dua tertuduh manakala Jiun Wei dikenakan denda tambahan RM2,000 atau penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan untuk pertuduhan kedua.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua barang kes diserah kepada pihak pendakwaan bagi tujuan pelupusan hingga tamat tempoh rayuan.
Sebelum ini tular di media sosial rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki ditahan individu disyaki menyamar sebagai anggota polis trafik yang meminta wang tunai RM300 daripada seorang penunggang motosikal di hadapan sebuah restoran di Taman Ipoh Timur Baru, Bercham, awal pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan mendapati suspek berusia lingkungan 20-an menahan mangsa dan mendakwa motosikal ditunggang telah diubah suai sebelum meminta wang RM300 sebagai sogokan bagi mengelak daripada disaman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








