BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Namewee ditahan positif empat jenis dadah

KUALA LUMPUR – Pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur atas dua pertuduhan berkaitan dadah selepas ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 42 tahun itu dituduh dengan dua pertuduhan pada 24 Oktober lalu selepas ditangkap sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 22 Oktober lalu, kira-kira pukul 4.30 petang.

“Pemeriksaan di dalam bilik hotel berkenaan menemui sembilan biji pil berwarna biru disyaki ecstasy seberat kira-kira 5.12 gram. Suspek kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati Namewee positif empat jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.

“Suspek direman selama dua hari menerusi perintah mahkamah bagi membantu siasatan sebelum pertuduhan dibuat,” katanya.

Fadil menjelaskan, Namewee dituduh di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah.

“Suspek mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu. Mahkamah kemudian membenarkan jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan,” katanya.

Kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Disember depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button