Kurang kasih sayang antara punca remaja terjebak jenayah seksual
KUALA LUMPUR – Kekurangan kasih sayang, perhatian dan komunikasi berkesan dalam keluarga dikenal pasti sebagai antara faktor utama mendorong peningkatan kes jenayah seksual dalam kalangan remaja bawah umur yang kini semakin membimbangkan.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ramai remaja mencari pengiktirafan dan perhatian di luar rumah sehingga mudah terjebak dalam hubungan tidak sihat atau berisiko yang akhirnya menjadikan mereka mangsa atau pelaku jenayah seksual.

“Fenomena ini mencerminkan kemerosotan nilai moral dalam kalangan generasi muda, kelemahan kawalan sosial serta kekurangan kefahaman mengenai harga diri dan tanggungjawab terhadap diri serta masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, antara faktor lain yang dikenal pasti termasuklah pendedahan melampau kepada bahan lucah dan kandungan tidak bermoral di media sosial, pengaruh rakan sebaya, kelalaian ibu bapa dalam memantau anak-anak serta kekurangan pendidikan seks dan moral yang komprehensif di sekolah.
“Dalam dunia digital hari ini, kanak-kanak dan remaja boleh mengakses pelbagai bahan tidak sesuai hanya melalui telefon pintar tanpa sebarang penapisan.
“Ini sangat membimbangkan kerana ia membuka ruang kepada pengaruh negatif yang boleh membawa kepada tingkah laku berisiko,” jelasnya.
Justeru, beliau menekankan keperluan pendekatan menyeluruh dan bersepadu melibatkan kerajaan, sekolah, ibu bapa, komuniti serta badan bukan kerajaan bagi menangani masalah tersebut.
“Pendidikan seks dan moral perlu diperkenalkan di sekolah secara komprehensif, bukan sekadar aspek biologi tetapi juga nilai menghormati tubuh badan, sempadan pergaulan dan tanggungjawab sosial.
“Ibu bapa juga disarankan dilatih agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak serta mengawal penggunaan internet dan media sosial dengan bijak.
“Pemantauan terhadap kandungan digital juga perlu dipertingkatkan kerana ia menjadi salah satu punca utama pendedahan awal kepada bahan lucah dan budaya songsang,” jelasnya.
Selain itu, beliau menekankan penguatkuasaan undang-undang terhadap pelaku jenayah seksual dan mereka yang menyebarkan bahan lucah kepada golongan bawah umur perlu dipertingkatkan tanpa kompromi.
“Usaha mencegah jenayah seksual remaja bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi seluruh masyarakat.
“Ibu bapa, guru dan komuniti perlu berganding bahu memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran yang selamat, berdisiplin dan berakhlak mulia. Masa depan negara bergantung kepada kesejahteraan moral serta mental generasi muda hari ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















