BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua jam pangku mayat suami, isteri kongsi pengalaman menyayat hati

ALOR SETAR – Hati mana tidak luluh apabila terpaksa memangku jasad suami yang sudah tidak bernyawa selama dua jam di tengah sawah berselut.

Itulah detik pilu dilalui Marliana Awang, 39, selepas menemui suaminya, Allahyarham Nasir Md Nayan, 45, yang maut ditetak dalam kejadian tragis di Kampung Pida 3, Jerlun, malam tadi.

“Saya hanya mampu riba badan suami yang sudah tidak bernyawa.

“Keadaan arwah sangat menyayat hati. Saya urut dada dan buang selut pada tubuhnya,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) seperti dilaporkan Kosmo! Online.

Marliana berkata sebelum kejadian, dia sempat berbual dengan suaminya dan meminta lelaki itu membawa masuk kambing ke kawasan rumah ibunya yang terletak berdekatan.

“Saya kata, ‘Abah, sekarang dah nak pukul 7 malam, lekas bawak masuk kambing.’ Lepas itu dia pun pergi ke rumah mak yang selang dua buah rumah dari kami,” ujarnya.

Kes tetak Jerlun
Anggota polis memeriksa lokasi kejadian kes tetak menyebabkan mangsa maut hingga putus kepala di kawasan sawah Kampung Pida 3.

Namun, selepas lama menunggu, kelibat suaminya tidak juga muncul sehingga penduduk kampung datang memaklumkan ada pergaduhan berlaku di kawasan bendang berhampiran.

“Saya terus menunggang motosikal ke lokasi dan nampak suami sudah terbaring dalam sawah.

“Saya masuk ke sawah yang berselut itu dan terus riba tubuhnya. Saya duduk di situ dari sebelum azan Maghrib sampai hampir pukul 10 malam,” katanya sambil menahan sebak.

Menurutnya, ketika memangku jasad suaminya, dia hanya mampu berdoa agar Allah mempermudahkan urusan suaminya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.

“Arwah seorang yang sangat baik dan penyayang. Dia rapat dengan dua anak lelaki kami yang masing-masing berusia tujuh dan 12 tahun,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berusia 45 tahun maut dalam keadaan mengerikan selepas ditetak menggunakan parang oleh adik iparnya di kawasan sawah di Kampung Pida 3, Jerlun.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.05 malam itu, mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran lumpur dengan kepala terpisah daripada badan. Bahagian kepala dijumpai kira-kira satu meter dari lokasi tubuhnya ditemui.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button