JENAYAH & MAHKAMAH

Peguam Negara fail pembelaan kes saman keluarga Wan Ahmad Faris

KOTA BHARU – Peguam Negara telah memfailkan pembelaan bagi mewakili semua defendan yang disaman oleh keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tahfiz yang dipercayai maut dibunuh pada Disember 2013.

Peguam, Dr Zulqarnain Lukman berkata, pembelaan itu difailkan pada 16 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu dan melibatkan defendan termasuk kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mahkamah telah memberikan tempoh kepada pihak plaintif iaitu ibu bapa Allahyarham Wan Ahmad Faris untuk menjawab pembelaan itu pada 6 November depan.

“Pihak kami yang mewakili keluarga Allahyarham akan memfailkan jawapan secara dalam talian,” kata Zulqarnain memetik laporan Harian Metro.

Beliau turut berharap pihak polis Bukit Aman akan memanggil semua saksi yang dicadangkan oleh pihaknya bagi membantu proses perbicaraan.

Kes itu berpunca daripada kejadian pada Disember 2013 apabila Wan Ahmad Faris yang merupakan pelajar Tingkatan Empat ditemukan mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas.

Jasadnya ditemui penyelia asrama selepas mengesan bau busuk dari dalam tandas.

Pemeriksaan forensik awal mengesahkan kematian tersebut berlaku secara mengejut tanpa sebarang unsur jenayah.

Bagaimanapun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa pelajar itu dibunuh oleh individu yang identitinya masih belum dikenal pasti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button