ADA sesuatu yang berbeza tentang Kuala Lumpur minggu ini. Bunyi siren konvoi diplomatik bergema hampir setiap jam, hotel-hotel lima bintang berubah jadi ‘markas’ pemimpin dunia dengan setiap sudut kota bertukar seperti babak filem antarabangsa.
Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan apabila memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang menjadikan ibu negara ini bukan sekadar lokasi rundingan tetapi nadi diplomasi serantau.
Tapi kalau disangka sidang ini hanya tentang rundingan dan diplomasi, itu mungkin silap besar. Tahun ini, ASEAN tampil lebih berwarna dengan momen lucu, bersahaja, dan menyentuh hati.
Sidang ASEAN diwarnai dengan kehadiran sekurang-kurangnya 18 pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden Korea, Lee Jae-myung; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.
Barisan perdana menteri yang hadir pula dibarisi Li Qiang (China); Anthony Albanese (Australia), Sanae Takaichi (Jepun), Christopher Luxon (New Zealand), Mark Carney (Kanada), Kay Rala Xanana Gusmao (Timor Leste) dan Alexey Overchuk (Timbalan Perdana Menteri Rusia).
Kehadiran mereka bukan kecil. Lebih 2,000 delegasi rasmi dan 1,000 wakil media antarabangsa berkampung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama kemuncak tiga hari.
Dari segi keselamatan, penganjuran kali ini dianggap begitu membanggakan kerana Kuala Lumpur membuktikan kemampuan sebagai tuan rumah meskipun berdepan penganjuran paling rumit dan kompleks, terutama apabila melibatkan kehadiran Trump.
Lebih 10,000 anggota polis dan 13,000 anggota keselamatan termasuk imigresen dikerah untuk melengkapkan kawalan di KLCC, MITEC dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur siap dengan 150 kenderaan rasmi dan laluan khas dinamakan “ASEAN Route” bagi memastikan tiada konvoi tersangkut di tengah kota.
Namun di sebalik kawalan ketat dan jadual padat, ada juga sisi lembut yang mencuit hati. Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya, sempat meluangkan masa sibuk dengan menyambut hari lahir Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.
Meskipun dalam suasana serba sederhana, ia dilihat penuh bermakna sebagai tanda keakraban dua pemimpin yang kini semakin akrab.
Di halaman pusat media pula, Presiden Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao mencuri perhatian dengan telatahnya yang suka mengusik wartawan. Mungkin tidak sabar menantikan hari paling bahagia dan bermakna pada persidangan bersejarah itu.
Ketika Timor Leste diumumkan sebagai anggota penuh ASEAN, suasana bertukar dramatik dan sayu apabila beberapa wartawan negara itu turut sama menangis kegembiraan ketika melihat pemimpin mereka berlinangan air mata.
Antara momen paling tular pula berlaku ketika majlis menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik antara Malaysia–AS ketika Anwar berseloroh kepada Trump untuk memiliki pen Rumah Putih yang ‘disua’ oleh Trump.
Reaksi spontan Perdana Menteri itu kemudian dibalas Trump yang mengusik bentuk tandatangan Anwar sebagai unik dan berseni. Gurauan spontan itu mencairkan suasana tegang dan menjadi bahan bualan ramai.
Sebelum itu, video pergerakan delegasi AS di Lebuhraya MEX turut tular di pentas dunia apabila keadaan jalan raya di Malaysia disifatkan jauh lebih baik dari Amerika. Kuasa viral ASEAN berterusan sehingga Trump menari dan memuji Malaysia sebagai negara yang menarik dan bertenaga.
Bagi Malaysia, sidang kemuncak kali ini bukan sekadar pertemuan pemimpin dunia. Ia tentang persahabatan, jenaka yang mencairkan protokol dan air mata yang tumpah kerana impian yang menjadi kenyataan.
Bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan dunia melihat ASEAN bukan sekadar bersidang tetapi kini bernafas seperti satu keluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







