Taufan Melissa landa Jamaica, kini bergerak ke Cuba
KINGSTON, Jamaica – Taufan Melissa yang melanda Jamaica dan dianggap sebagai antara taufan paling kuat dalam sejarah Atlantik kini bergerak ke Cuba selepas menyebabkan kemusnahan besar di Kepulauan Caribbean itu.
Menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC), Melissa kini dikategorikan sebagai Taufan Kategori 3 dengan kelajuan angin berterusan sekitar 201 kilometer sejam.
Pusat taufan itu kini terletak di utara Jamaica, kira-kira 160 batu (257 kilometer) barat daya Guantanamo, Cuba dan sedang bergerak ke arah utara-timur laut pada kelajuan 13 kilometer sejam.

Taufan tersebut meninggalkan kesan kemusnahan yang meluas di bahagian barat daya Jamaica termasuk kediaman, hospital dan sekolah yang rosak teruk akibat tiupan angin kencang serta hujan lebat berterusan.
Perdana Menteri Jamaica, Andrew Holness dalam temubual bersama CNN, menyifatkan bencana itu bakal meninggalkan “kerosakan berskala besar” dan menggesa penduduk terus berhati-hati susulan amaran cuaca buruk yang masih berkuat kuasa.
Setakat ini, tujuh kematian telah dilaporkan berkaitan Melissa, tiga di Jamaica ketika persediaan menghadapi ribut, tiga di Haiti dan seorang di Republik Dominica.
Menurut NHC, keadaan cuaca di timur Cuba dijangka merosot dengan cepat dalam beberapa jam akan datang apabila Melissa menghampiri kawasan daratan negara itu.
Taufan berkenaan dijangka kekal sebagai ribut besar (Kategori 3 atau lebih tinggi) ketika melintasi Cuba dan Kepulauan Bahamas dengan risiko ribut kencang, banjir kilat dan ombak besar dijangka meningkat di kawasan pesisir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















