Perlu lawan kerana Anwar calarkan imej saya – Muhyiddin
HULU SELANGOR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tohmahan dan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda telah mencalarkan imejnya sebagai bekas Perdana Menteri.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN)bersedia melawan Anwar di mahkamah.
“Saya saman Perdana Menteri (Anwar), peduli saya… betul tak? Fasal ini maruah saya. Saya manusia, saya mantan Perdana Menteri, awal daripada dia.
“Tak faham perakaunan (dan) faham makna bon,” kata Muhyiddin ketika berucap pada Ceramah Umum DUN Hulu Bernam, di sini malam tadi.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menyindir tindakan Anwar menuntutnya membayar pampasan RM200 juta kerana didakwa menjejaskan reputasi beliau berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.
“Belum habis saya minta dia (Anwar) mohon maaf dan dia tak nak minta maaf (tetapi) dia saman saya RM200 juta. Macam mana tu?
“Saya suruh dia minta maaf fasal dia dah salah… dia tak nak mengaku salah, dia saman saya dan suruh minta maaf dengan nilai RM200 juta. Habis macam mana? Lawan, lawan? Lawan tetap lawan.
“Fasal saya berpegang pada prinsip kebenaran. Berani kerana benar. Kalau orang buat tohmah, dan ini memfitnah saya hidup-hidup,” kata Muhyiddin lagi.