DI TENGAH-TENGAH ketidaktentuan global dan persaingan kuasa besar yang semakin meningkat, Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia – TAC) kembali menjadi tumpuan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang sedang berlangsung di ibu negara.
Selepas lebih empat dekad diperkenalkan, TAC kekal menjadi asas kepada prinsip “ASEAN Way” yang menekankan penyelesaian konflik melalui rundingan, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan dasar tidak campur tangan dalam urusan dalaman.
Ia merupakan satu pendekatan yang menjadi teras kestabilan politik rantau Asia Tenggara hingga ke hari ini.

Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr. Syaza Farhana Mohamad Shukri berkata, TAC berfungsi sebagai panduan utama hubungan antara negara-negara ASEAN serta antara ASEAN dan rakan dialognya.
“TAC penting sebagai asas hubungan negara-negara ASEAN dan negara rakan. Ia menjadi panduan kepada apa yang kita kenal sebagai ASEAN Way iaitu prinsip tidak campur tangan dan menghormati kedaulatan negara lain,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun perjanjian itu bersifat normatif, TAC berjaya membentuk satu budaya diplomasi damai di rantau ini.
“Tunjang utama ASEAN ialah keamanan dan diplomasi, tetapi lebih kepada pendekatan normatif iaitu penyelesaian konflik secara rundingan untuk mencapai perdamaian,” ujarnya.
TAC yang dimeterai pada tahun 1976 kini telah ditandatangani oleh lebih 50 negara di seluruh dunia termasuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, Jepun dan Kesatuan Eropah.
Fakta ini menunjukkan bahawa perjanjian berkenaan bukan sahaja menjadi asas kepada hubungan intra-ASEAN, tetapi juga diterima secara global sebagai rangka kerja bagi diplomasi serantau.
Dr. Syaza menegaskan bahawa prinsip-prinsip TAC seperti cooperation dan renunciation of threat masih relevan dalam konteks geopolitik masa kini.
“Asas konsensus dan prinsip seperti kerjasama serta penolakan ancaman memberi jaminan bahawa ASEAN akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mencari penyelesaian masalah.
“Ini membantu ASEAN mengekalkan status neutral dan dilihat sebagai rakan kepada negara-negara dalam rantau ini dan di luar,” katanya lagi.
Beliau menambah, kehadiran ramai pemimpin dunia dalam Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini membuktikan bahawa pendekatan diplomatik ASEAN masih mempunyai merit dan dihormati di pentas antarabangsa.
Dalam era dunia multipolar yang semakin berpecah, Dr. Syaza melihat ASEAN memainkan peranan penting sebagai jambatan diplomatik yang mengekalkan perbincangan dan kerjasama antara kuasa besar.
“ASEAN terus ke hadapan dalam kepimpinan berasaskan ‘rules-based order’. Dalam erti kata lain, ASEAN kini memainkan peranan penting untuk meneruskan dialog dan kerjasama ketika dunia semakin berpecah. ASEAN kekal berpegang kepada kepentingan dialog,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Dr. Syaza mengakui bahawa walaupun ASEAN sering dikritik kerana tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan konflik besar, keupayaannya mengekalkan kestabilan politik serantau tidak boleh dinafikan.
“Memang benar ASEAN tidak berupaya menyelesaikan masalah besar seperti Myanmar atau Laut China Selatan. Namun sekurang-kurangnya, dengan prinsip TAC, ASEAN dapat mengekalkan kestabilan rantau ini,” katanya.
Beliau menambah, kestabilan tersebut mungkin belum bermakna demokratisasi penuh, tetapi ia telah membolehkan rantau ini terus berkembang secara ekonomi dan menarik perhatian dunia sebagai kawasan yang aman dan prospektif untuk pelaburan serta kerjasama strategik.
Ketika dunia semakin terbahagi akibat ketegangan geopolitik, TAC muncul sebagai simbol keberkesanan diplomasi damai ASEAN yang berasaskan hormat, dialog dan konsensus.
Prinsip yang diperkenalkan hampir setengah abad lalu itu kini menjadi asas kepada hubungan bukan sahaja dalam ASEAN, tetapi juga dengan kuasa besar dunia secara tidak langsung menegaskan kedudukan ASEAN sebagai jambatan antara Timur dan Barat serta antara keamanan dan pembangunan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







