Brentford sekat kebangkitan Liverpool dalam aksi mendebarkan
LONDON – Liverpool terus dirundung malang apabila tewas 2-3 kepada Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Komuniti Gtech, awal pagi tadi.
Kekalahan itu merupakan yang keempat berturut-turut buat skuad The Reds dalam saingan liga musim ini, sekali gus menambah tekanan terhadap pengurus, Arne Slot, yang kini berdepan tanda tanya mengenai keupayaan taktikalnya.
Brentford membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Dango Ouattara yang bijak menyambar lontaran jauh Michael Kayode, menewaskan penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili.
Tuan rumah terus mendominasi perlawanan dan menambah jaringan pada minit ke-45 apabila Kevin Schade menyempurnakan hantaran lintang Mikkel Damsgaard bagi mengukuhkan kedudukan 2-0.
Liverpool bagaimanapun kembali menghidupkan permainan pada minit ke-45 masa tambahan selepas Milos Kerkez menjaringkan gol pertama buat kelab itu hasil bantuan Hugo Ekitike yang menanduk hantaran Conor Bradley.
Selepas rehat, Brentford terus menghukum kesilapan barisan pertahanan Liverpool apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-60 selepas Virgil van Dijk melakukan kekasaran di kawasan kotak penalti.
Igor Thiago tidak mensia-siakan peluang untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Slot melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Andy Robertson, Alexis Mac Allister dan Federico Chiesa bagi memperkuatkan setiap bahagian pasukan, namun usaha itu gagal membuahkan hasil.
Mohamed Salah kembali menajamkan sentuhan penyudah apabila menjaringkan gol kedua Liverpool pada minit ke-89 hasil hantaran Dominik Szoboszlai, namun sudah terlambat untuk mengubah keputusan.
Liverpool kini berdepan tekanan hebat selepas gagal mengutip sebarang mata dalam empat aksi terakhir Liga Perdana.
Skuad The Reds akan kembali beraksi menentang Crystal Palace dalam saingan Piala Carabao di Anfield pada Rabu ini, dengan harapan dapat memulihkan semangat dan kembali ke landasan kemenangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








