BERITA SEMASA

Kerajaan tidak bercadang tutup sekolah pondok – Fahmi

PUTRAJAYA – Kerajaan menafikan dakwaan kononnya terdapat rancangan untuk menutup sekolah pondok tidak berdaftar di Kedah dan Kelantan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, khabar angin yang tular di media sosial baru-baru ini merupakan berita palsu dan tidak berasas sama sekali.

“Perkara itu telah dinafikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) semalam. Tiada sebarang keputusan atau cadangan sedemikian dibincangkan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Fahmi, aduan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu tersebut.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan orang ramai.

“Penyebaran berita palsu bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat, malah boleh menjejaskan imej institusi pendidikan Islam tradisional seperti sekolah pondok.

“Saya menyeru orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengesahkan maklumat dengan sumber rasmi atau media arus perdana sebelum menyebarkannya,” katanya lagi.

Fahmi dalam masa sama menasihatkan pengguna media sosial supaya tidak menjadikan platform tersebut sebagai ruang menabur fitnah atau menyebar berita tidak benar yang boleh menimbulkan keresahan awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button