Jadikan pemantauan anak di media sosial satu tanggungjawab
KUALA LUMPUR – Dalam era digital yang semakin mencabar, pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti anak di media sosial bukan lagi sekadar tanggungjawab moral, sebaliknya perlu diperluas sebagai kewajipan undang-undang yang jelas dan boleh dikuatkuasakan.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Nisar Mohammad Ahmad berkata, sudah tiba masanya negara memperkukuh peruntukan undang-undang bagi memastikan ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dalam memantau keselamatan anak di dunia maya.

“Walaupun belum ada peruntukan khusus yang menjadikan pemantauan media sosial sebagai kewajipan undang-undang, kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan bagi mewajibkan ibu bapa memantau tingkah laku anak dalam talian,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang memaklumkan kerajaan kini sedang menilai semula beberapa peruntukan undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan kewajipan yang lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga.
“Pendekatan ini selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama dalam melindungi generasi masa depan daripada ancaman jenayah seperti penderaan dan pengantunan kanak-kanak dalam talian,” jelasnya.
Dr. Nisar berkata, peningkatan kes jenayah melibatkan remaja akibat pengaruh media sosial menunjukkan keperluan mendesak untuk menambah baik undang-undang agar lebih relevan dengan cabaran digital masa kini.

Katanya, pemantauan ibu bapa tidak boleh lagi dianggap sebagai pilihan, tetapi perlu dilihat sebagai tanggungjawab undang-undang yang boleh dikuatkuasakan bagi melindungi kesejahteraan anak-anak.
Cadangan mewajibkan pemantauan anak di dunia maya ini turut seiring dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang kini giat memperkukuh kawal selia digital menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Akta tersebut sedang dimuktamadkan bagi memberi kuasa kepada MCMC untuk mewajibkan penyedia platform digital melaksanakan pelan keselamatan dalam talian serta memperkenalkan sistem pelabelan kandungan automatik bagi mengekang penyebaran bahan berunsur eksploitasi kanak-kanak, buli siber, kandungan palsu dan “deepfake”.
MCMC turut diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk menyiapkan 10 instrumen subsidiari bagi memastikan pelaksanaan akta tersebut berjalan berkesan.

Di bawah akta baharu itu, penyedia platform juga akan diwajibkan memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) bagi menunjukkan tahap tanggungjawab mereka terhadap kandungan digital yang disiarkan.
Langkah ini turut menyokong matlamat kerajaan untuk menjadikan keselamatan dalam talian tanggungjawab bersama antara penyedia platform, penguat kuasa dan pengguna, termasuk ibu bapa.
“Pelaksanaan akta seperti ini memberi isyarat bahawa pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti digital anak-anak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada sistem keselamatan sosial negara,” kata Dr. Nisar.
Dalam masa sama, Dr. Nisar berpendapat bahawa kerangka undang-undang sedia ada di Malaysia sebenarnya sudah mencukupi untuk melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak.
Beliau berkata, undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara telah menyediakan asas yang kukuh dalam memastikan perlindungan menyeluruh kepada golongan tersebut.
Namun, tegas beliau, cabaran utama bukan terletak pada kekurangan undang-undang tetapi pada aspek pelaksanaan, pemantauan dan tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah.

“Kita tidak kekurangan peruntukan undang-undang, tetapi kekangan dari segi pelaksanaan dan kesedaran masyarakat masih membataskan keberkesanannya.
“Di sinilah perlunya intervensi kerajaan melalui agensi berkaitan,” katanya lagi.
Dr. Nisar turut menekankan keperluan memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan latihan kepada pegawai yang terlibat serta menyediakan fasiliti sokongan yang lebih baik bagi memastikan undang-undang sedia ada dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau menambah, kesedaran masyarakat tentang kepentingan perlindungan kanak-kanak juga perlu terus dipupuk, selaras dengan matlamat kerajaan untuk membina persekitaran selamat dan sejahtera bagi generasi muda negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















