Pelesenan Media Sosial: Antara kawal selia dan kebebasan digital
BERMULA 1 Januari 2025, Malaysia telah memperkenalkan keperluan pelesenan yang mensyaratkan penyedia platfom yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna supaya berdaftar.
Peraturan itu dikuatkuasakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Pelaksanaannya bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian serta melindungi pengguna daripada ancaman seperti buli siber, penipuan dalam talian dan pengedaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Syahirah Abdul Shukor berkata, langkah ini diambil bagi memastikan media sosial tidak menjadi medan penyebaran kandungan yang boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat.
“Dalam dunia digital yang semakin berkembang, keperluan untuk mengawal selia media sosial menjadi lebih mendesak.

“Kita sering melihat kes-kes jenayah siber, penipuan atas talian dan penyebaran maklumat palsu yang memberi kesan buruk kepada masyarakat,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mengambil langkah kawal selia terhadap media sosial.
Kesatuan Eropah (EU) telah memperkenalkan Akta Perkhidmatan Digital (DSA) pada tahun 2023 yang mewajibkan syarikat media sosial menghapuskan kandungan berunsur jelik dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat.

Australia juga mengambil pendekatan serupa dengan mengetatkan peraturan penyebaran maklumat dalam talian.
Jelas Dr. Syahirah, setiap negara mempunyai justifikasi tersendiri dalam memperkenalkan undang-undang kawal selia digital.
“Negara seperti Jerman dan Perancis sangat tegas dalam menangani isu maklumat palsu dan ekstremisme dalam talian.
“Malaysia juga mempunyai keperluan yang unik berdasarkan cabaran sosial dan budaya yang kita hadapi ketika ini,” ujarnya.
Pelesenan itu kata beliau, bukan sekadar formaliti, tetapi satu keperluan yang disertakan dengan tindakan undang-undang jika tidak dipatuhi.
“Syarikat yang gagal memohon lesen boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 selain denda harian bagi kesalahan yang berterusan.
“Bahkan, platform yang ingkar boleh dilarang daripada beroperasi di Malaysia,” katanya lagi.

Tambah beliau, tindakan itu bukanlah untuk menghalang kebebasan perniagaan tetapi bagi memastikan keselamatan pengguna lebih terjamin.
“Banyak platform media sosial menjana pendapatan yang besar daripada pengguna Malaysia.
“Oleh itu, mereka juga perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna dengan memastikan kandungan yang dipaparkan tidak membahayakan masyarakat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, perdebatan utama dalam isu ini adalah bagaimana untuk memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan keperluan kawal selia.
Bahkan ada pihak yang bimbang langkah tersebut mungkin digunakan untuk menyekat suara rakyat.
Namun, Dr. Syahirah menegaskan bahawa kawal selia bukan bermaksud menyekat kebebasan bersuara, tetapi lebih kepada memastikan ruang digital digunakan secara bertanggungjawab.
“Kebebasan bersuara adalah hak asasi yang perlu dihormati.
“Namun, hak ini tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian, maklumat palsu atau kandungan berbahaya seperti maklumat tentang bagaimana membunuh diri atau membuat dadah sintetik.
“Kita perlu ada keseimbangan antara kebebasan dan keselamatan masyarakat,” tegasnya lagi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah badan utama yang bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan pelesenan ini.
MCMC perlu terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap platform yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.
Namun, cabaran utama dalam penguatkuasaan ialah memastikan semua platform global mematuhi peraturan Malaysia.
Oleh itu, Dr Syahirah menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam hal ini.
“Di peringkat ASEAN dan antarabangsa, kita perlu ada kerjasama rentas sempadan dalam mengawal selia media sosial.
“Jika satu negara bertindak tetapi negara lain tidak, maka penguatkuasaan menjadi sukar,” jelasnya.

Bagaimanapun, pelaksanaan pelesenan ini tidak lari daripada cabaran, termasuk keengganan platform antarabangsa untuk mematuhi peraturan Malaysia serta isu teknikal dalam menentukan jumlah pengguna dan klasifikasi kandungan.
Justeru, Dr. Syahirah memberi beberapa cadangan. Antaranya ialah:
1. Peningkatan Kesedaran Pengguna
– Pengguna perlu memahami kepentingan pelesenan dalam melindungi mereka daripada kandungan yang berbahaya.
2. Pemudahan Proses Pelesenan – Proses permohonan lesen perlu mudah dan tidak membebankan penyedia platform.
3. Kerjasama dengan Pihak Berkuasa Antarabangsa
– Malaysia perlu bekerjasama dengan negara lain dalam memastikan platform media sosial mematuhi peraturan global yang lebih ketat.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu menyediakan prasarana digital yang menyokong usaha ini, termasuk meningkatkan teknologi pengawasan dan pengesanan kandungan berbahaya di platform media sosial.
Pelesenan media sosial bukan sekadar satu peraturan baharu, tetapi langkah penting dalam memastikan keselamatan pengguna dan ketertiban digital di Malaysia.
Walaupun terdapat cabaran dalam pelaksanaannya, ia adalah satu keperluan bagi mengelakkan penyalahgunaan ekosistem digital.
“Langkah ini bukan untuk menyekat, tetapi untuk melindungi. Kita bukan sahaja mahu ruang digital yang bebas tetapi juga selamat untuk semua.” ujar Dr. Syahirah.
Dengan usaha yang bersepadu antara kerajaan, syarikat teknologi dan masyarakat, pelaksanaan pelesenan media sosial akan dapat mencapai matlamat yang diinginkan tanpa mengorbankan hak kebebasan bersuara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








