Kos pembersihan premis, sekolah terjejas ribut dianggar cecah RM1.9 juta
KUALA LANGAT – Kos kerja pembersihan enam premis, termasuk empat sekolah yang terjejas akibat ribut di Telok Panglima Garang, Selangor, dijangka menelan belanja sebanyak RM1.9 juta.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, jumlah anggaran kos awalan itu tidak termasuk kerja pembaikan struktur yang mengalami kerosakan.
“Anggaran kos sebenar akan dimaklumkan selepas mendapat pengesyoran kaedah pembaikan daripada pihak Cawangan Forensik Struktur,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hab Pengecasan EV Bersepadu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&N) Seremban, arah Selatan semalam.
Sekolah terbabit termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya dan SK Kampung Medan yang terjejas teruk masing-masing memerlukan kos pembersihan sebanyak RM500,000; Sekolah Rendah Agama Kampung Medan (RM350,000) dan SK Jalan Tanjung (RM300,000).
Selain itu, turut terjejas dan memerlukan kerja pembersihan adalah Tabika KEMAS Kampung Medan (RM150,000) dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang (RM100,000).
Baca juga : MBI sumbang RM400,000 bantu mangsa ribut
Mengulas lanjut, Nanta menjelaskan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah bertindak segera dengan menjalankan pemeriksaan tapak, menutup kawasan berisiko serta menyiapkan laporan awal dalam tempoh 24 jam.
“Dengan laporan itu nanti barulah kita tahu apa sepatutnya langkah-langkah untuk sementara, sederhana dan jangka panjang kita boleh tentukan.
“Jadi langkah susulan kini menumpukan kepada penilaian forensik struktur dan keselamatan elektrik, sebelum kerja pembaikan kekal dimulakan,” katanya.
Terdahulu, JKR menasihati pihak sekolah supaya menangguhkan sesi persekolahan sehingga keselamatan struktur bangunan dapat dipastikan.
Media turut melaporkan bahawa sesi persekolahan bagi sekurang-kurangnya 4,000 pelajar di Teluk Panglima Garang terjejas akibat ribut kelmarin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






