Pembebasan tahanan Palestin bertukar pilu, diusir ke negara ketiga
GAZA – Kegembiraan keluarga tahanan Palestin meraikan pembebasan ahli keluarga mereka bertukar duka apabila ramai dalam kalangan mereka diarahkan meninggalkan tanah air dan diusir ke negara ketiga oleh pihak Israel.
Menurut Pejabat Media Tahanan Palestin, seramai 154 tahanan Palestin yang dibebaskan pada Isnin merupakan antara mereka yang dibuang negeri oleh Israel di bawah perjanjian pertukaran tawanan dengan Hamas dan beberapa kumpulan Palestin lain.
Perjanjian itu turut menyaksikan 20 tebusan Israel dibebaskan di Gaza, manakala keseluruhannya 250 tahanan Palestin dilepaskan bersama kira-kira 1,700 rakyat Gaza yang ditahan sepanjang dua tahun peperangan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyifatkan ramai antara tahanan tersebut sebagai individu yang telah “hilang secara paksa.”
Setakat ini, belum dapat dipastikan negara mana yang akan menerima kumpulan tahanan terbabit, namun dalam pembebasan terdahulu pada Januari lalu, puluhan tahanan Palestin telah dihantar ke Tunisia, Algeria dan Turkiye.
Pemerhati antarabangsa menyifatkan tindakan Israel itu sebagai pelanggaran hak kewarganegaraan dan menggambarkannya sebagai satu bentuk layanan berat sebelah dalam pelaksanaan perjanjian pertukaran tawanan.
Pensyarah Dasar Awam di Doha Institute for Graduate Studies, Dr. Tamer Qarmout berkata, tindakan Israel itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
“Ini tindakan yang menyalahi undang-undang kerana mereka warganegara Palestin dan tidak memiliki kewarganegaraan lain.
“Mereka dibebaskan dari penjara kecil hanya untuk dihantar ke penjara yang lebih besar, jauh dari keluarga dan masyarakat mereka,” memetik laporan Awani.
Di Ramallah, keluarga kepada tahanan Muhammad Imran meluahkan rasa terkejut apabila dimaklumkan beliau termasuk dalam senarai yang akan diusir, walaupun sebelum ini diberitahu akan dibebaskan ke rumah sendiri.
“Kami terkejut, tapi masih menunggu. Yang penting dia bebas, walau di mana pun,” kata abangnya, Raed Imran.
Namun bagi banyak keluarga, pengusiran ini membawa erti mereka mungkin tidak akan berpeluang bertemu semula dengan insan tersayang kerana Israel masih mengawal sempadan dan pergerakan keluar masuk wilayah Palestin.
Dr. Qarmout berkata, langkah Israel itu adalah strategi untuk menghapuskan pengaruh politik tahanan yang dibebaskan selain menghukum keluarga mereka secara kolektif.
“Pembuangan negeri ini menamatkan masa depan politik mereka. Ia juga memberi kelebihan kepada Israel kerana tahanan Israel yang dibebaskan boleh pulang ke rumah masing-masing, satu lagi contoh hipokrasi yang jelas,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















