Pelajar Kejururawatan KPTM Kota Bharu bantu warga emas kemalangan, raih pujian Asyraf Wajdi
KOTA BHARU – Tindakan pantas dan penuh ihsan lapan pelajar kejururawatan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu membantu pasangan warga emas yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Gua Musang mendapat pujian daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut beliau, pelajar-pelajar terbabit yang sedang dalam perjalanan menaiki bas kebetulan berada di lokasi kejadian sebelum tampil memberikan bantuan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan serius akibat kenderaan mereka dilanggar sebuah lori.
“Bangga saya dengan pelajar-pelajar kejururawatan KPTM Kota Bharu yang begitu prihatin, cakna dan punya nilai ihsan yang tinggi,” kata beliau melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, beliau mendapat maklumat mengenai insiden itu daripada seorang kenalannya dari Johor, Datuk Ismail yang menyaksikan sendiri kecekapan dan semangat kemanusiaan para pelajar tersebut ketika membantu mangsa.
“Menurut Datuk Ismail, pelajar-pelajar ini meminta pemandu bas berhenti dan cuba membantu sedaya upaya berdasarkan ilmu dan kemahiran kejururawatan yang mereka pelajari di KPTM. Saya amat tersentuh mendengarnya,” katanya lagi.
Susulan itu, beliau sempat mengadakan panggilan video bersama para pelajar berkenaan sejurus selepas kejadian bagi menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan secara peribadi.

“Tahniah sekali lagi kepada lapan pelajar tahun akhir kursus Kejururawatan KPTM Kota Bharu. Sesungguhnya kalian adalah #GenMARA yang menjadi kebanggaan seluruh warga KPTM dan MARA,” ujarnya.
Pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut ialah Nur Najwa Alias, Noor Aireen Shafika Mohd Sharudin, Nurul Jasmin Jasman, Sue Syazwanie Jaafar, Nur Najlaa Romli, Siti Balqis Ismail, Nur Sarah Abdullah dan Faizzatul Asniza Rozmi.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut berharap agar tindakan spontan dan penuh tanggungjawab para pelajar berkenaan menjadi contoh kepada warga MARA yang lain dalam mempraktikkan nilai ihsan, empati dan keprihatinan terhadap masyarakat.
“Inilah roh pendidikan MARA, bukan sekadar melahirkan graduan berilmu, tetapi juga insan yang berakhlak, berjiwa penyayang dan sentiasa sedia berbakti kepada masyarakat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








