Kerajaan tawar lima biasiswa kepada rakyat Palestin dalam bidang kejuruteraan rangkaian dan radio
SHAH ALAM – Kerajaan akan menawarkan biasiswa pendidikan dalam bidang kejuruteraan rangkaian dan rangkaian radio kepada lima rakyat Palestin untuk melanjutkan pengajian di negara ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif yang akan dilaksanakan menerusi Kementerian Komunikasi itu memberi keutamaan kepada golongan muda dari Gaza, Ramallah, Tebing Barat, Nablus, atau wilayah lain di Palestin yang berminat untuk mendalami bidang kejuruteraan rangkaian atau rangkaian radio.
“Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke arah usaha pembinaan semula Gaza serta pembangunan Palestin yang lebih baik.
“Kami percaya pendidikan dalam bidang komunikasi dan teknologi merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang bagi pembinaan semula Palestin yang lebih inklusif dari segi komunikasi domestik,” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Redly Pos Malaysia International sempena sambutan Hari Pos Sedunia 2025 di Pusat Mel Nasional, hari ini.
Kata Fahmi, perbincangan awal mengenai pembiayaan pendidikan itu telah diadakan bersama Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur bagi meneliti keperluan kemasukan dan pelaksanaan inisiatif tersebut.
Ketika ditanya bila inisiatif itu boleh dilaksanakan, Fahmi menjelaskan pihaknya masih menunggu maklum balas lanjut, dan proses kemasukan ke institusi pendidikan bergantung kepada jadual akademik atau semester pengajian.
Sementara itu, Fahmi berkata Kedutaan Palestin turut mencadangkan supaya Kementerian Komunikasi dan MCMC membantu membangunkan kelas pendidikan dalam talian untuk pelajar Palestin, sepertimana usaha yang dijalankan melalui Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (NADI) di negara ini.
Beliau berkata cadangan itu sedang dikaji dan pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa pihak lain bagi menyediakan kelas dalam talian untuk kanak-kanak di Gaza dan wilayah Palestin lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








