11 pelabur tuntut keadilan, Datuk disyaki tipu skim pelaburan
KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 pelabur termasuk seorang warga British menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang didakwa menipu mereka dalam skim pelaburan bernilai RM66 juta.
Pengerusi Kumpulan Tindakan MAPER, Shah Abdul Malek berkata, ahli perniagaan itu kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ditahan menerusi Op Fibre kerana disyaki terbabit pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.
Beliau mendakwa, pelabur-pelabur mengalami kerugian hasil pelaburan dalam skim yang dijalankan melalui beberapa syarikat berunsur ‘ponzi’ sejak 2018.
Jelasnya, skim terbabit bukan sahaja memperdaya kumpulan pelabur itu, malah dipercayai menipu ratusan mangsa lain dengan jumlah keseluruhan melebihi RM300 juta.
“Antara taktik digunakan ialah menyamar sebagai pegawai bank kononnya menawarkan pelaburan runcit yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti dan dijamin insurans.
“Lebih mengelirukan, nama beberapa ahli perniagaan bergelar Tan Sri turut dikaitkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata, MAPER memperjuangkan nasib mangsa sejak tahun lalu selepas mendapati pelbagai pihak termasuk syarikat korporat dan agensi kerajaan turut menjadi mangsa rangkaian penipuan bernilai hampir RM1 bilion.
Katanya, pihaknya akan terus mendedahkan lebih banyak kegiatan sindiket itu dan menggesa mangsa lain tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
Shah turut menyambut baik tindakan SPRM yang menahan reman ahli perniagaan terbabit pada Julai lalu serta menyita aset bernilai RM620 juta, namun menzahirkan kebimbangan kerana beberapa syarikat dikaitkan dengan kegiatan itu kini dalam proses penggulungan.
Sementara itu, pelabur warga British, Lee Rodger Meiklejohn berkata, dia mengalami kerugian £10 juta (RM60 juta) selepas diperkenalkan kepada ahli perniagaan berkenaan oleh seorang broker di Edinburgh, Scotland, antara Oktober 2010 dan April 2011.
Katanya, laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat pada 6 November 2023.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







